SR Rezeki Venture kotej pertama Kelantan peroleh Sijil Halal
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco
KOTA BHARU, 15 April — Syarikat SR Rezeki Venture mencipta sejarah apabila menjadi kotej pertama di Kelantan yang berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia berkuat kuasa 1 April lalu, sekali gus membuka ruang baharu kepada usahawan kecil menembusi piawaian industri halal.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, beliau hadir menyerahkan sendiri sijil halal tersebut kepada pemilik syarikat Noor Syahirah Roslan di kediamannya di Kampung Paya Bemban, hari ini.
Menurut YB Mohd Asri, pencapaian itu membuktikan pengusaha industri kecil dan kotej berupaya memenuhi standard pensijilan halal yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan.
“Syarikat ini mengeluarkan produk makanan seperti Lasagna Ayam Alfredo dan Lasagna Daging Bolognese di bawah skim permohonan produk makanan,” katanya menerusi laman rasmi, hari ini.
Menurutnya lagi, produk keluaran syarikat berkenaan kini turut dibekalkan ke beberapa premis tempatan termasuk Sogno Coffee, Alkhatiri Coffee dan Kayuan Coffee, selain dibuka untuk tempahan masyarakat setempat.
Tambah beliau, kejayaan tersebut wajar menjadi dorongan kepada lebih ramai usahawan kotej di negeri ini untuk mendapatkan pensijilan halal bagi memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing produk masing-masing.
“Pencapaian ini diharap menjadi pemangkin kepada usahawan lain untuk berani melangkah ke tahap lebih tinggi dalam industri halal,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Syarikat SR Rezeki Venture atas kejayaan tersebut dan berharap ia terus berkembang sebagai contoh kepada pengusaha lain di Kelantan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) Dr Hasnan Ramli serta pasukan Bahagian Pengurusan Halal JAHEAIK.










