Kelantan pergiat pelaksanaan CFS, lindungi habitat kurangkan konflik hidupan liar
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 15 April — Kerajaan Negeri Kelantan mempergiat pelaksanaan kawasan rizab Central Forest Spine (CFS) sebagai langkah strategik bagi melindungi habitat hidupan liar serta mengurangkan risiko konflik antara manusia dan haiwan di negeri ini.
Usaha yang dilaksanakan dengan kerjasama PLAN Malaysia Negeri Kelantan itu merangkumi pembangunan koridor ekologi yang menghubungkan kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia termasuk Kompleks Hutan Titiwangsa dan kawasan Timur Laut, sekali gus menyediakan laluan selamat kepada hidupan liar.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pelaksanaan CFS menjadi keutamaan dalam memastikan kelestarian biodiversiti negeri terus terpelihara.
“Pelaksanaan CFS ini merupakan keutamaan dalam memastikan kelestarian biodiversiti negeri terus terpelihara, di samping menyediakan laluan selamat kepada hidupan liar untuk bergerak tanpa gangguan pembangunan dan aktiviti manusia,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan insiden kematian seekor tapir akibat dilanggar kenderaan di Jalan Kuala Krai–Kota Bharu berhampiran Kampung Telekong, pada Isnin.
Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang mengenal pasti kawasan strategik bagi pembangunan jaringan koridor ekologi tersebut berdasarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi CFS (PIRECFS) yang telah dirangka.
“Pelan ini menjadi asas penting dalam usaha pemuliharaan jangka panjang, bukan sahaja untuk tapir, tetapi juga spesies terancam lain seperti harimau Malaya dan gajah,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian besar populasi tapir di Kelantan tertumpu di Hutan Simpan Chabang Tongkat dan Hutan Simpan Ulu Sat yang memerlukan pengukuhan laluan ekologi bagi mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan insiden berkenaan memperlihatkan keperluan mendesak untuk mempercepat pelaksanaan CFS sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap konflik manusia dan hidupan liar.
“CFS akan berfungsi sebagai koridor semula jadi yang membolehkan hidupan liar bergerak bebas untuk mencari makanan dan habitat tanpa terdedah kepada risiko pertembungan dengan kenderaan,” ujarnya.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif tersebut diyakini mampu mempertingkat pengurusan alam sekitar secara mampan serta memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.
“Inisiatif ini dijangka menjadi langkah penting dalam memastikan pembangunan dan pemuliharaan dapat bergerak seiring demi kelestarian negeri pada masa hadapan,” tegasnya.
















