MSTG: Akademik-pembinaan insan seimbang, model pendidikan holistik relevan keperluan semasa
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 15 April — Pendekatan pendidikan yang dilaksanakan oleh Maahad Sains Tok Guru (MSTG) yang mengimbangi kecemerlangan akademik dan pembinaan insan dilihat sebagai model pendidikan holistik yang relevan dengan keperluan semasa.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pendekatan tersebut memberi tumpuan kepada pencapaian akademik dan menekankan pembentukan pelajar secara menyeluruh merangkumi aspek ilmu, akhlak dan jati diri.
Menurutnya, dalam senario pendidikan masa kini, sistem pembelajaran perlu melangkaui orientasi peperiksaan dan berperanan sebagai medium membentuk individu berilmu, berakhlak serta bertanggungjawab.
“Di sinilah terletaknya falsafah pendidikan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam melahirkan pelajar berilmu, beriman, bertakwa dan berupaya berkhidmat untuk membangunkan diri, keluarga, masyarakat serta dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Satu Dekad MSTG di pekarangan sekolah berkenaan di Pengkalan Chepa, semalam.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa keseimbangan antara ilmu aqli dan naqli kini menjadi satu keperluan asas dalam sistem pendidikan, bukan lagi pilihan.
Jelasnya, pendekatan MSTG yang menggabungkan penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Arab dilihat sebagai usaha strategik dalam membina generasi yang berakar pada identiti serta mempunyai akses langsung kepada sumber ilmu yang sahih.
Tambah beliau, inisiatif turut dilaksanakan untuk mengintegrasikan pendidikan turath dengan teknologi moden, termasuk usaha menjadikan MSTG sebagai sekolah digital di bawah Kerajaan Negeri Kelantan.
“Inilah keperluan dunia hari ini. Kita tidak boleh melahirkan generasi yang hanya memahami kitab tetapi tidak memahami realiti semasa, dan kita juga tidak boleh melahirkan generasi yang hanya mahir teknologi tetapi kosong dari segi nilai dan integriti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa gabungan antara turath dan teknologi merupakan pendekatan strategik dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, berprinsip serta mampu berperanan secara berkesan dalam dunia moden.
















