PSPM wajar diiktiraf sektor kritikal, layak terima subsidi diesel – Exco PBT
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 15 April — Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan (PSPM), perkhidmatan perbandaran dan pembersihan awam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar diiktiraf sebagai sektor kritikal yang layak menerima subsidi diesel daripada Kerajaan Persekutuan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah berkata, pengiktirafan tersebut penting bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan asas yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah PSPM Bil. 1/2026 di Bilik Mesyuarat Exco, di Mabna, pada Selasa.
Menurutnya, kenaikan harga diesel ketika ini memberi tekanan ketara terhadap operasi pengurusan sisa pepejal, khususnya melibatkan kos logistik dan penyelenggaraan harian di tapak pelupusan.
“Perkhidmatan kutipan dan pelupusan sisa pepejal bukan sahaja melibatkan aspek kebersihan, bahkan berkait rapat dengan kesejahteraan awam. Justeru, sektor ini tidak boleh dipinggirkan daripada pertimbangan subsidi diesel kerana impaknya amat besar kepada rakyat, khususnya di kawasan bandar,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, PSPM kini menguruskan empat tapak pelupusan sampah milik tujuh PBT di Kelantan, dan sebarang peningkatan kos operasi tanpa sokongan sewajarnya berpotensi menjejaskan kelangsungan perkhidmatan tersebut.
“Jika isu ini tidak ditangani secara menyeluruh, ia bukan sahaja memberi kesan kepada operasi harian, malah boleh menjejaskan rantaian ekonomi sektor lain yang bergantung kepada persekitaran bersih dan terurus,” ujarnya.
Tambahnya, beberapa inisiatif strategik dipersetujui bagi memastikan operasi di tapak pelupusan terus berjalan secara optimum meskipun berdepan tekanan kos semasa.
Selain itu, katanya lagi, mesyuarat turut membentangkan laporan insiden kebakaran di tapak pelupusan sampah di Bukit Che Ros, Tanah Merah serta Beris Lalang, Bachok. Ahli Lembaga bersetuju menerima cadangan langkah mitigasi yang dikemukakan pihak pengurusan dengan kerjasama Majlis Daerah Tanah Merah bagi mengelakkan kejadian berulang.
Mengulas lanjut, YB Hilmi berharap Kerajaan Persekutuan dapat merangka pendekatan menyeluruh dalam masa terdekat bagi menangani impak kenaikan harga diesel yang semakin dirasai pelbagai sektor.
“Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat mempertimbangkan mekanisme terbaik agar sektor perkhidmatan awam seperti pengurusan sisa pepejal tidak terjejas, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif PMBK Dr Mohd Zulkufli Zakaria, Pengarah PSPM & Managing Director Greenviro Solutions Sdn Bhd Dato’ Syamshuar Husin , Pengerusi Jawatankuasa Kerja CSR IWK – KUM Cares Mahadi Mokhtar, CEO PSPM dan COO Greenviro Solutions Sdn Bhd Noor azam Mastor.










