Ahmad’s Fried Chicken yakin kuasa beli rakyat Kelantan, buka cawangan baharu di Tunjong
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 15 April — Keyakinan terhadap kuasa beli rakyat Kelantan menjadi faktor utama Ahmad’s Fried Chicken mengembangkan perniagaan makanan dan minuman dengan membuka cawangan baharu di Bandar Baharu Tunjong, di sini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembukaan restoran tersebut mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap kemampuan pasaran tempatan meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa.
Menurutnya, kehadiran jenama seperti Ahmad’s Fried Chicken mampu mewujudkan persaingan sihat dalam industri makanan dan minuman selain menambah pilihan kepada pengguna.
“Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak pengurusan atas komitmen memperluaskan perniagaan serta keyakinan terhadap potensi rakyat Kelantan,” katanya menerusi laman rasmi pada Isnin.
Beliau berkata, pembukaan cawangan baharu itu turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti perniagaan.
Timbalan Menteri Besar merakamkan penghargaan atas undangan merasmikan restoran tersebut pada 13 April lalu dan mengajak orang ramai untuk terus menyokong usahawan tempatan.
“Jom sama-sama kita pakat singgah, sokong usahawan tempatan dan rasai sendiri keenakan yang disajikan. Semoga segala usaha ini diberkati dan perniagaan ini terus maju jaya,” ujarnya.
Sementara itu, rakan kongsi Ahmad’s Fried Chicken Syahrul Azam Mohd Ramli, 47, berkata syarikat berkenaan kini mempunyai 58 cawangan di seluruh negara, termasuk 26 restoran di Malaysia.
Menurutnya, pemilihan Bandar Baharu Tunjong sebagai lokasi pembukaan dibuat berdasarkan perkembangan pesat kawasan tersebut yang semakin menjadi tumpuan.
“Kami melihat Bandar Baharu Tunjong mempunyai potensi besar dari segi pertumbuhan ekonomi dan kehadiran komuniti yang semakin meningkat, sekali gus sesuai untuk pengembangan perniagaan,” jelasnya.
















