Vaksinasi ruminan dipergiat, lindungi ternakan dijangkiti wabak
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco
PASIR PUTEH, 15 April — Usaha memperkasa program vaksinasi ruminan terus dipergiat bagi melindungi ternakan daripada ancaman wabak penyakit berjangkit, sekali gus menjamin kelangsungan industri penternakan negeri.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah pencegahan melalui vaksinasi merupakan pendekatan penting dalam memastikan sektor penternakan kekal stabil dan berdaya tahan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Penyakit Ruminan dan Vaksinasi FMD, LSD serta Brucella di pekarangan Pejabat Veterinar Pasir Puteh, di sini, pada Selasa.
Program yang melibatkan penyertaan 70 penternak dari Dewan Negeri (DUN) Semerak dan Gaal itu memfokus kesedaran dan kesiapsiagaan dalam menghadapi risiko penyakit ruminan.
Menurutnya, penyakit seperti Penyakit Kuku dan Mulut (FMD), Lumpy Skin Disease (LSD) dan Brucella berpotensi memberi kesan besar terhadap kesihatan ternakan serta ekonomi penternak sekiranya tidak dikawal secara berkesan.
“Kesedaran dan tindakan pencegahan melalui vaksinasi merupakan benteng utama dalam melindungi industri penternakan daripada ancaman penyakit berjangkit,” katanya.
Menurutnya lagi, program berkenaan menjadi platform penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada penternak, khususnya dalam menghadapi cabaran cuaca tidak menentu yang boleh meningkatkan risiko penularan penyakit.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan kebajikan penternak terus terbela melalui pelbagai inisiatif termasuk program kesedaran, vaksinasi dan sokongan input penternakan,” ujarnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan atas usaha berterusan melaksanakan program libaturus bersama komuniti penternak di seluruh negeri.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Veterinar yang konsisten turun padang memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan penyakit secara bersepadu,” katanya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan silaj dalam bentuk baller keluaran Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd bagi memastikan bekalan makanan ternakan kekal mencukupi, khususnya ketika musim kemarau.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu penternak mengekalkan produktiviti ternakan walaupun berdepan kekangan sumber makanan hijauan,” jelas beliau.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal YB Mohd Rodzi Jaafar.














