GEPA Al-Falah diiktiraf laluan rasmi TVET, perantis jalani latihan SKM
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 15 April — Gerakan Pertanian (GEPA) Al-Falah Pondok dan Tahfiz diiktiraf sebagai laluan rasmi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian, sekali gus membolehkan perantis menjalani latihan teori dan praktikal bagi melayakkan mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Pengiktirafan tersebut dilihat sebagai satu lonjakan penting dalam memperkasa institusi pondok dan tahfiz dengan kemahiran teknikal yang relevan, selari dengan keperluan semasa industri agromakanan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan tersebut yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperluas akses pendidikan kemahiran kepada pelajar pondok.
Menurutnya, inisiatif berkenaan pada asalnya digerakkan bagi menghidupkan tanah wakaf dan kawasan terbiar di sekitar pondok dan pusat tahfiz al-Quran melalui aktiviti pertanian yang disepadukan dengan latihan kemahiran.
“Inisiatif ini bukan sekadar pertanian, tetapi menggabungkan tarbiah, kemahiran dan kelangsungan ekonomi, sekali gus melahirkan pelajar yang seimbang dari segi ilmu agama dan kemahiran praktikal,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.
Tambahnya, program tersebut dirangka agar tidak mengganggu sistem pembelajaran sedia ada, sebaliknya menjadi nilai tambah melalui latihan berstruktur dan berterusan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pengiktirafan itu direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JKP) Wilayah Timur yang menjadikan platform tersebut sebagai laluan rasmi TVET pertanian.
“Melalui pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), para perantis akan menjalani latihan teori dan praktikal sebelum layak menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” ujarnya.
Kejayaan tersebut diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Pentauliahan Akademi Dalam Industri (ADI) sempena sesi libat urus Majlis TVET Negeri Kelantan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama JPK di Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.
Untuk rekod, GEPA Al-Falah Pondok dan Tahfiz diperkenalkan sejak 2018 sebagai usaha mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf dan kawasan terbiar melalui aktiviti pertanian. Inisiatif itu kemudiannya diperkasakan pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM300,000 yang disalurkan kepada 10 pondok terpilih melalui Pusat Pembangunan Pondok Berhad.












