Generasi kelahiran YIK digesa kuasai teknologi — MB Kelantan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 14 April — Generasi yang dilahirkan melalui sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) khususnya dalam aliran sains tulen, digesa menguasai kemahiran teknologi sebagai prasyarat penting melahirkan tenaga mahir yang unik dan berdaya saing di peringkat nasional.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkembangan pesat teknologi masa kini menuntut pelajar cemerlang dalam akademik bahkan berkeupayaan memanfaatkan teknologi sebagai medium dakwah yang lebih luas dan dinamik.
Menurutnya, penguasaan teknologi menjadi keperluan utama dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan serta penyebaran kefahaman Islam secara lebih berkesan.
“Dalam dunia global hari ini, kita melihat bagaimana konflik antarabangsa seperti peperangan antara Amerika Syarikat dan sekutunya Israel berhadapan dengan Iran membuktikan bahawa penguasaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan perang siber, memainkan peranan besar untuk mengalahkan pihak musuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Satu Dekad penubuhan Maahad Sains Tok Guru (MSTG) di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, beliau juga mengingatkan bahawa penguasaan teknologi tanpa panduan agama boleh membawa kepada penyalahgunaan yang merosakkan masyarakat.
“Amat mendukacitakan apabila terdapat individu yang mahir teknologi tetapi menyalahgunakannya untuk tujuan tidak bermoral seperti jenayah siber, penipuan dan gejala sosial yang berpunca daripada penyalahgunaan aplikasi digital,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan penghayatan agama dalam kalangan pelajar agar kemajuan teknologi tidak membawa kepada keruntuhan akhlak.
“Islam tidak menghalang kemajuan, malah mengiktiraf teknologi sebagai wasilah kebaikan, namun ia mesti dipandu dengan batasan syarak agar tidak menjerumuskan manusia ke lembah dosa,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pelajar dalam aliran sains bersepadu perlu diperkasa dengan akidah yang sahih, kefahaman agama yang mendalam serta tasawwur Islam yang jelas dalam setiap tindakan.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha membina semula kegemilangan tamadun Islam perlu bermula dengan penguasaan ilmu serta keunggulan akhlak, sambil memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya.”
Beliau turut menaruh harapan tinggi terhadap pelajar YIK khususnya di MSTG agar menjadi pelapis kepimpinan masa hadapan yang seimbang dari segi intelektual dan sahsiah.
Katanya, selain kecemerlangan akademik dan pembinaan jati diri, penguasaan sejarah Islam perlu diberi perhatian bagi memastikan generasi muda memahami akar perjuangan umat.
“Kejahilan terhadap sejarah umat Islam boleh melemahkan identiti Islam dalam kalangan generasi baharu. Justeru, pembelajaran sirah nabawiyyah, sejarah ulama serta kegemilangan tamadun Islam perlu diperkasakan,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha tersebut penting bagi melahirkan generasi berjiwa besar yang memahami sejarah serta mampu meneruskan kesinambungan perjuangan Islam dengan lebih yakin dan berdaya saing.
Turut hadir, Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Seri Amar Diraja Dato’ (Dr) Mohd Amar Abdullah, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Pengerusi PIBG MSTG merangkap Exco Kerajaan Negeri YB Dato’ Dr Izani Husin, Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar, Pengetua MSTG Kamarjan Abdul Rahman serta Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan YB Sahibul Fadhilah Dato’ Biji Sura Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.














