Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan, TVET dan tafsiran kemajuan

Oleh: Norzana Razaly

DALAM wacana pembangunan nasional, satu kecenderungan sering berulang - menilai maju atau mundurnya sesebuah negeri dengan neraca sempit. Negeri yang dipenuhi citra industri berat, bangunan kaca, dan gaya hidup metropolitan dipersepsikan sebagai progresif. 

Sebaliknya, negeri yang tekal memelihara agama, budaya dan adab tempatan sering disalah baca sebagai lambat, tertutup atau tidak berdaya saing. Dalam konteks inilah Kelantan kerap menjadi sasaran stereotaip. Namun perkembangan mutakhir dalam dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri menunjukkan bahawa tanggapan tersebut semakin  goyah.

Berdasarkan pengumuman terkini, Kelantan sedang merintis laluan latihan berteknologi tinggi ke Korea Selatan dan Jerman, sambil mengekalkan pendidikan Islam sebagai paksi pembinaan insan.

Apa yang sedang berlaku di Kelantan penting dibaca sebagai anjakan makna terhadap konsep pembangunan itu sendiri. Menurut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, kerajaan negeri merancang menghantar 15 pelajar aliran agama ke Korea Selatan bagi mengikuti latihan dalam bidang enjin, elektrik dan teknologi kenderaan elektrik, sementara laluan ke Jerman sedang dirintis.

Dalam masa yang sama, pengajian Islam terus diperkukuh melalui penawaran pengajian ke Tunisia dan usaha mendapatkan kuota khas di Algeria. Ini menandakan bahawa Kelantan tidak memilih antara agama dan teknologi tetapi menyusun kedua-duanya dalam satu kerangka pembangunan insan yang saling melengkapi.

Berkemahiran dan berakhlak

Kemajuan  dalam definisi Kelantan, merujuk soal jenis manusia yang hendak dibentuk oleh sesebuah masyarakat. Dalam tradisi teori pembangunan manusia, negara atau wilayah yang benar-benar maju menghasilkan pekerja cekap dan membina warga yang mempunyai keupayaan teknikal, kejelasan moral dan ketahanan budaya. 

Kelantan, melalui gagasan TVET Rabbani, sedang mengemukakan model bahawa tenaga mahir tidak semestinya lahir daripada proses sekularisasi nilai. Sebaliknya, kemahiran tinggi boleh dibangunkan bersama pembentukan akhlak, amanah dan integriti kerja. Dengan kata lain, negeri ini sedang menawarkan naratif bahawa pekerjaan juga ialah ibadah, bukan semata-mata fungsi pasaran. 

Ekosistem kemahiran diperkukuh

Maklumat rasmi Jabatan Pembangunan Kemahiran pula menunjukkan pendekatan Akademi Dalam Industri (ADI) menekankan latihan berasaskan pekerjaan, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi latihan dan realiti industri. 

Majlis pentauliahan ADI di Kelantan pada 13 April 2026 melibatkan sembilan pemain industri dan institusi tempatan memperlihatkan bahawa ekosistem kemahiran di negeri ini sedang diperkukuh secara sistematik.

Program kemahiran yang menerima pentauliahan ialah Program Operasi Pengeluaran Tanaman melibatkan Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (KPKB), Huffaz Agro Farm, Maahad Tahfiz Darul Ulum, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan, Maahad Muhammadi Gua Musang, Pondok Pengajian Islam serta Pondok Ar-Rahmaniah Darul Quran.
Selain itu, Program Pengendalian Tanaman Cendawan (Tanah Rendah) turut ditauliahkan kepada Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (KPKB) dan Pondok Dakwah Islamiyyah Sri Permai, manakala Program Pengoperasian Masjid serta Pengajaran Tahfiz dilaksanakan melalui Pusat Pembangunan KIAS bersama rakan strategik berkaitan.

Ertinya, Kelantan sedang melakukan sesuatu yang menarik dari sudut sosiologi institusi, iaitu memperluas definisi medan latihan kemahiran dengan menghubungkan institusi tradisi agama kepada piawaian latihan moden. 

Ini satu inovasi sosial yang menggabungkan legitimasi budaya tempatan dengan keperluan ekonomi semasa. Dalam bahasa yang lebih mudah, Kelantan tidak merobohkan rumah lama untuk membina yang baharu tetapi memperkukuh tiang rumah itu agar mampu menampung teknologi abad ini.

Kritikan bahawa Kelantan tidak berdaya saing juga menjadi lemah apabila kita meneliti arah sektor yang sedang diberi perhatian. Teknologi kenderaan elektrik, elektrik, enjin, automasi, logistik moden dan penyelenggaraan infrastruktur ialah bidang yang sangat rapat dengan transformasi ekonomi masa depan. 

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang berskala global sendiri menegaskan TVET amat penting untuk ekonomi hijau kerana menyediakan pekerja bagi sektor utama seperti pengangkutan, tenaga, pembinaan dan pembuatan. 

Bergerak seiring arus ekonomi

Mutakhir, latihan vokasional di banyak negara juga semakin menekankan kemahiran berkaitan penyelenggaraan kenderaan elektrik, literasi digital dan penyesuaian terhadap mobiliti hijau. Maka apabila Kelantan memasukkan elemen EV dan kerjasama industri dalam kerangka TVET-nya, negeri ini sebenarnya sedang bergerak seiring dengan arus ekonomi global, bukannya berada di pinggir zaman.

Lebih menarik, pilihan Korea Selatan dan Jerman sebagai destinasi latihan kerana Jerman terkenal dengan sistem latihan vokasional dual yang menggabungkan pembelajaran teori dengan latihan praktikal di tempat kerja, sementara portal rasmi kerajaan Jerman menjelaskan bahawa latihan vokasional di negara itu terbina melalui gabungan sekolah, industri dan badan profesional. 

Model ini menjadi contoh klasik bagaimana pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak berlaku melalui penyelarasan rapat antara pendidikan dan keperluan ekonomi sebenar. Oleh itu, hasrat Kelantan membuka laluan ke Jerman membawa makna strategik iaitu memperkenalkan anak negeri kepada budaya kerja, disiplin industri dan teknologi yang terbukti berkesan di salah satu ekonomi perindustrian termaju dunia.

Pemeliharaan jati diri

Paling penting, mesej kebudayaan di sebalik dasar ini ialah Kelantan sedang membuktikan bahawa pemeliharaan jati diri Melayu-Islam tidak semestinya menjadi lawan kepada kemajuan. 

Dalam wacana moden yang terlalu lama dikuasai andaian sekular, tradisi sering digambarkan sebagai beban yang mesti ditinggalkan untuk mencapai daya saing. Padahal sejarah banyak menunjukkan sebaliknya. Buktinya, Jerman sendiri kekal sebagai kuasa industri dan inovasi walaupun negara itu mengekalkan komitmen besar terhadap institusi budaya serta pemeliharaan warisan. 

Dokumen rasmi kerajaan persekutuan Jerman menegaskan pemeliharaan dan penjagaan institusi budaya serta warisan merupakan antara fokus penting dasar negaranya. Dalam erti kata lain, Jerman tidak menjadi maju dengan mengurus tradisi sebagai aset peradaban.

Switzerland juga memberi gambaran yang hampir serasi dengan hujah Kelantan. Negara itu dikenali sebagai antara ekonomi paling inovatif, namun sistem pendidikannya amat menekankan laluan vokasional dan profesional. Maklumat rasmi Switzerland menyatakan pendidikan vokasional ialah bahagian integral sistem pendidikannya, dengan sifat kebolehlaluan yang tinggi antara latihan, pekerjaan dan pendidikan lanjutan. 

Dalam masa yang sama, pelbagai dokumen rasmi Switzerland menonjolkan bagaimana negara itu memelihara kepelbagaian bahasa, warisan tempatan dan identiti kebudayaan sambil terus melaksanakan transformasi digital dan inovasi. Ertinya, tradisi dan inovasi di Switzerland bukan dua kutub yang berperang tetapi dua arus yang dirapatkan dalam satu sistem sosial yang matang.

Pola acuan lokal

Contoh Jerman dan Switzerland penting kerana kedua-duanya ialah negara Barat yang lazimnya dijadikan penanda aras kemajuan. Namun kedua-duanya tidak menuntut masyarakat mereka mencabut akar budaya untuk menjadi moden. Mereka mengekalkan warisan, menghormati sejarah, memelihara identiti tempatan, dan pada masa yang sama membangunkan ekonomi berasaskan kemahiran tinggi. 

Maka apabila Kelantan cuba mengimbangkan ilmu agama, latihan teknikal dan pembentukan sahsiah, negeri ini sebenarnya tidak menyimpang daripada logik kemajuan global. Sebaliknya, Negeri julukan Serambi Mekah ini sedang bergerak menurut pola yang juga dapat dikesan pada negara-negara yang berjaya dengan acuan lokal Melayu-Islam yang lebih sesuai dengan sosiosejarahnya sendiri.

Pembangunan berakar budaya

Sesebuah masyarakat lebih berdaya tahan apabila institusi modennya tumbuh daripada nilai yang dipercayai oleh rakyat bukan dipaksa sebagai import mental yang terpisah daripada jiwa tempatan. 

Kelantan memahami bahawa masyarakatnya mempunyai tradisi keagamaan yang kuat, rangkaian pondok yang hidup dan imaginasi sosial yang masih melihat ilmu sebagai amanah. Daripada meminggirkan unsur ini atas nama pemodenan, kerajaan negeri mengolahnya menjadi sumber legitimasi untuk meluaskan TVET. 

Langkah menghubungkan pondok, tahfiz, institusi komuniti dan industri melalui ADI ialah bentuk kejuruteraan sosial yang halus tetapi signifikan. Tindakan ini menurunkan tembok palsu antara “agama” dan “kemahiran”, antara “pondok” dan “industri”, antara “akhirat” dan “pekerjaan”.

Sudah tentu, rencana ini tidak tenggelam dalam romantisme. Cabaran sebenar tetap besar. Kelantan mesti memastikan penghantaran pelajar ke Korea dan Jerman perlu disusuli dengan pemetaan sektor strategik negeri, rantaian penempatan kerja, pengukuhan bahasa teknikal asing, pengiktirafan sijil, serta pembinaan ekosistem industri tempatan yang mampu menyerap kemahiran baharu. 

Tanpa susulan institusi yang kukuh, inisiatif yang baik boleh menjadi sekadar poster dasar. Namun apabila majlis libat urus TVET negeri, penglibatan UPEN, JPK, GLC dan institusi latihan sudah mula digerakkan, terdapat petunjuk bahawa Kelantan sedang membina ekosistem yang positif.

Rumusan

Akhirnya, dakwaan bahawa Kelantan mundur dan tidak berdaya saing perlu dicabar dengan lebih jujur dan lebih ilmiah. Justeru kemajuan tidak tunggal wajahnya. Ada negeri yang memilih kemajuan melalui urbanisasi ekstrem dan pemutusan tradisi. Ada pula negeri yang memilih kemajuan melalui pengukuhan manusia, pembinaan akhlak, dan penyesuaian teknologi dengan nilai setempat.

Kelantan jelas cenderung kepada jalan yang kedua. Melalui laluan TVET berteknologi tinggi ke Korea dan Jerman, sambil terus memelihara pengajian Islam ke Tunisia dan Algeria, Kelantan sedang mengemukakan satu tesis pembangunan yang penting - anak muda boleh mahir mengendalikan teknologi tercanggih tanpa kehilangan pedoman akidah, bahasa budaya dan maruah peradaban. 

Di tengah-tengah dunia yang sering mengelirukan kemajuan dengan peniruan, Kelantan memilih untuk maju dengan gaya tersendiri melalui strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam.

Pautan berjaya disalin!