Pendidikan bersepadu Kelantan jadi model nasional, MSTG perintis gabungan tahfiz dan sains
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 14 April — Pendekatan pendidikan bersepadu yang diteroka Kelantan kini memberi nafas baharu kepada sistem pendidikan negara bahkan muncul sebagai model ikutan pelbagai pihak di seluruh Malaysia.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan Maahad Sains Tok Guru (MSTG) menjadi bukti keberkesanan pendekatan tersebut yang menggabungkan elemen tahfiz, sains tulen, penguasaan bahasa serta pengajian turath secara menyeluruh.
“Jika pada awal 1990-an masyarakat diperkenalkan dengan pengajian tahfiz dan qiraat, kini usaha itu berkembang kepada integrasi tahfiz dan sains tulen yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif ini diperkasakan lagi melalui penubuhan Maahad Sains Tok Guru sebagai sekolah perintis Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang menggabungkan elemen tahfiz (5 juzuk), sains tulen, penguasaan bahasa Arab dan Inggeris serta pengajian kitab turath secara bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Satu Dekad penubuhan MSTG di perkarangan sekolah berkenaan di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan MSTG merupakan manifestasi dasar “Membangun Bersama Islam” yang menjadi teras pembangunan pendidikan negeri sejak lebih tiga dekad lalu.
Sepanjang tempoh sedekad penubuhannya, MSTG berdepan pelbagai cabaran termasuk dalam melahirkan generasi sulung pelajar, namun kini berjaya membuktikan keupayaannya sebagai institusi pendidikan berprestasi tinggi.
“Berdasarkan rekod lima tahun sehingga keputusan SPM 2025, MSTG secara konsisten berada dalam kelompok tiga terbaik bagi kategori Maahad Kawalan YIK. Ini membuktikan kesungguhan semua pihak dalam mengekalkan budaya kecemerlangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan matlamat utama penubuhan sekolah di bawah Kerajaan Negeri Kelantan adalah untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik dan membentuk generasi berfikiran kritis dan berakhlak mulia berteraskan nilai Rabbani.
“Jika sekadar mahu cemerlang, sudah banyak sekolah yang mampu menjadikan anak-anak kita cemerlang. Namun keunikan sistem pendidikan YIK terletak pada kemampuannya membina insan yang seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang menyeru manusia agar tidak melupakan keperluan dunia dalam mengejar kebahagiaan akhirat,” ujarnya.
Beliau turut menggesa seluruh warga pendidikan termasuk guru, pelajar dan ibu bapa agar terus memperkasa usaha membangunkan sistem pendidikan berorientasikan masa hadapan serta berteraskan keredaan Allah SWT.














