Accessibility Tools

Skip to main content

Seruling Kasih harumkan nama Kelantan ke pentas separuh akhir Dikir Barat RTM

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Wan Roslan

TUMPAT, 14 April — Pasukan Dikir Barat Seruling Kasih terus mengharumkan nama Kelantan apabila berjaya melangkah ke pentas separuh akhir Pertandingan Dikir Barat Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2026.

Kejayaan kumpulan pendikir anak Tumpat itu mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat yang tampil memberikan sokongan moral dan sumbangan kepada pasukan berkenaan, semalam.

Beliau berkata, usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh Seruling Kasih membuktikan bahawa seni warisan dikir barat masih relevan serta mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Saya berkesempatan menyampaikan sedikit ucapan serta kata-kata semangat kepada Pasukan Dikir Barat Seruling Kasih, di samping menyerahkan sumbangan sebagai tanda sokongan atas kejayaan mereka melayakkan diri ke Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 peringkat separuh akhir.

“Semoga pasukan ini terus bersemangat, mengekalkan persembahan terbaik dan mengharumkan nama Kelantan khasnya Tumpat di pentas yang lebih tinggi, insya Allah,” katanya menerusi laman rasmi, semalam.

Menurut Dato' Wan Roslan, pertandingan separuh akhir itu dijadual berlangsung pada Sabtu 18 April ini, pukul 9 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan turut merakamkan penghargaan kepada pihak penaja termasuk Pengurus Besar Sayap Niaga Kota Bharu serta penaja utama RTM Bos Long Raja Perfume yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan berkenaan.

Tambahnya, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting dalam memastikan seni warisan dikir barat terus subur dan kekal menjadi kebanggaan masyarakat, khususnya di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!