Exco Kebajikan ziarah keluarga Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Rohani
KOTA BHARU, 14 April — Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim menziarahi keluarga pelajar tingkatan satu SMK Tanjong Mas Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, mangsa kemalangan di kawasan sekolah, Ahad lalu.
Menurutnya, setiap kejadian yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT dan tragedi tersebut harus dijadikan peringatan kepada semua pihak agar lebih mengutamakan keselamatan.
“Ajal dan maut urusan Allah, dan setiap yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Kejadian ini tidak disengajakan, namun menjadi satu peringatan besar buat kita semua,” katanya di laman rasmi, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Mas berharap pihak sekolah dapat mengambil langkah penambahbaikan khususnya dari aspek keselamatan, termasuk penyediaan kawasan parkir yang lebih sesuai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
“Untuk masa akan datang, diharap pihak sekolah dapat mengambil langkah lebih selamat, bagi menyediakan kawasan parkir yang lebih sesuai untuk kenderaan guru serta menjaga keselamatan para pelajar kerana malang tidak berbau,” ujarnya.
Dato' Rohani turut mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan, kesabaran dan reda dalam menghadapi ujian tersebut.
“Semoga ahli keluarga diberikan kesabaran dan reda dalam menghadapi ujian ini. Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.








