Penyelarasan isu-isu pertanian dibincang, atasi cabaran semasa - Exco Pertanian
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 14 April- Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan mesyuarat penyelarasan isu-isu sektor pertanian bagi membincang cabaran semasa yang dihadapi sektor pertanian di negeri ini, khususnya dalam mendepani krisis peperangan global dan perubahan iklim.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perbincangan bersama agensi serta jabatan berkaitan memberi tumpuan kepada kesan berganda krisis global terhadap pemain industri.
Menurutnya, antara isu utama yang dibincangkan termasuk peningkatan kos diesel, kemarau serta tekanan kos operasi dan input pertanian yang memberi kesan langsung kepada petani, penternak dan nelayan.
“Kita juga meneliti isu rantaian bekalan makanan, kestabilan harga serta keperluan intervensi segera bagi memastikan sektor ini terus berdaya tahan,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited untuk menyelaras tindakan bersama semua pihak termasuk agensi dan pemain industri dalam memperkukuh mekanisme bantuan.
“Antara usaha yang diperkasa termasuk Bantuan Sejahtera Tani bagi meringankan beban golongan sasar.
“Insya Allah, segala usaha ini adalah demi memastikan kebajikan petani, penternak dan nelayan terus terbela, sekali gus menjamin kecukupan bekalan makanan rakyat,” katanya.










