Accessibility Tools

Skip to main content

113 pelajar mangsa kebakaran Asrama SMUA Bachok terima sumbangan YAKIN

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 13 April — Sebanyak 113 pelajar Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Ulum Muhammadiah (SMUA) Bachok yang terlibat dalam insiden kebakaran asrama, bakal menerima sumbangan kebajikan sebanyak RM250 setiap seorang daripada Tabung Kumpulan Wang Kebajikan dan Pelajaran Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan dalam Mesyuarat Lembaga Pentadbir YAKIN Bilangan 1/2026 yang bersidang hari ini.

“Semalam, 12 April 2026, berlaku kebakaran asrama pelajar sekolah ini melibatkan 113 pelajar, 59 pelajar perempuan dan 54 pelajar lelaki.

“Takziah diucapkan kepada keluarga, murid dan pihak guru serta pentadbir sekolah. Alhamdulillah tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Beliau berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban pelajar terlibat yang terkesan akibat kehilangan barangan peribadi susulan kejadian berkenaan.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri melalui YAKIN sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pelajar, khususnya di institusi pendidikan agama, terus diberi perhatian sewajarnya.

“Bantuan ini diharapkan dapat membantu pelajar yang terjejas untuk meneruskan pembelajaran dalam keadaan lebih selesa,” jelasnya.

Insiden kebakaran yang berlaku pada Ahad itu melibatkan asrama pelajar SMUA Bachok, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan serius dilaporkan.

Pautan berjaya disalin!