Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud


Lebih 50,000 perantau Kelantan sertai sambutan Aidilfitri di 45 lokasi

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 13 April – Lebih 50,000 anak Kelantan di perantauan menyertai Majlis Aidilfitri Kerajaan Negeri Bersama Anak-Anak Kelantan di Perantauan.

Program berkonsepkan ukhuwah dan kebersamaan pemimpin-rakyat itu dianjurkan sepanjang bulan Syawal di 45 lokasi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, program berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri di bawah portfolio hubungan seranta bagi mengeratkan hubungan dengan rakyat Kelantan yang berada di luar negeri.

Menurutnya, penganjuran majlis tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN Malaysia), Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) serta Back Bencher Club (BBC).

“Program ini menjadi platform penting untuk menyatukan anak-anak Kelantan di perantauan dalam suasana Aidilfitri, di samping mengukuhkan hubungan silaturahim antara kerajaan negeri dan rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya lagi, majlis yang berlangsung di Kuantan dihadiri Menteri Besar dan timbalannya serta barisan Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Manakala program di Melaka disertai Menteri Besar bersama para Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Tambahnya, bagi penganjuran di lokasi lain, kehadiran wakil kerajaan negeri disempurnakan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN) Back Bencher Club (BBC) yang diketuai Presiden BBC merangkap ADN Pasir Tumbuh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus.

“Penganjuran berskala besar ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hubungan dengan anak Kelantan di perantauan terus diperkukuh walau di mana mereka berada,” ujarnya.

Beliau turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah penyatuan ummah serta pengukuhan identiti anak Kelantan di perantauan.

Pautan berjaya disalin!