Projek tanaman tin PKPNK tuai hasil pertama, jualan ladang dibuka bermula hari ini
Oleh: Asri Hamat
PASIR MAS, 13 April — Projek tanaman buah tin oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) di Ladang Agrovalley Rong Chenok mencatat pencapaian penting apabila hasil pusingan pertama berjaya dituai, sekali gus membuka jualan ladang kepada orang ramai bermula hari ini.
Pengurus Projek PKPNK Muhd Azri Roslin berkata, projek yang dimulakan pada November 2025 itu kini menunjukkan perkembangan positif apabila mengeluarkan hasil sulung dalam tempoh beberapa bulan.
Menurutnya, sempena penuaian pertama tersebut, pihaknya membuka peluang kepada orang ramai untuk membeli serta merasai pengalaman memetik sendiri buah tin secara terus di ladang.
“Kita mengalu-alukan orang ramai untuk datang membeli dan memetik sendiri buah tin di ladang ini sebagai satu pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Beliau berkata, tanaman buah tin mempunyai keunikan tersendiri kerana memerlukan persekitaran yang sesuai, namun PKPNK berjaya mengusahakannya di lokasi berkenaan melalui pendekatan teknologi pertanian moden.
“Pada peringkat awal, sebanyak 200 pokok ditanam dalam sebuah rumah hijau dan kita merancang menambah dua hingga tiga lagi rumah hijau pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran PKPNK Nor Atieqah Aidiee Afandiee berkata, harga jualan ditetapkan RM60 sekilogram dengan anggaran 12 hingga 15 biji buah bagi setiap kilogram bergantung kepada saiz.
Menurutnya, jualan ladang akan berlangsung sehingga tamat musim pusingan pertama yang dijangka berakhir pada Jun depan.
“Waktu operasi bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari sepanjang musim ini,” jelasnya.
Beliau berkata, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi dan perkembangan semasa melalui media sosial rasmi PKPNK https://www.facebook.com/PerbadananKemajuanPertanianNegeriKelantan/
Tambahnya, tanaman buah tin mempunyai jangka hayat antara 15 hingga 20 tahun, sekali gus berpotensi sebagai tanaman komersial yang mampu menjana pulangan jangka panjang kepada industri pertanian negeri.











