Sembilan pemain industri Kelantan terima Sijil Pentauliahan ADI
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 13 April — Sembilan pemain industri dan institusi di Kelantan menerima Sijil Pentauliahan Akademi Dalam Industri (ADI) sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri di negeri ini.
Antara penerima pentauliahan tersebut ialah Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad), Huffaz Agro Farm, Maahad Tahfiz Darul Ulum, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan, Maahad Muhammadi Gua Musang, Pondok Pengajian Islam, Pondok Ar-Rahmaniah Darul Quran, Pondok Dakwah Islamiyyah Sri Permai serta Pusat Pembangunan Kemahiran Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali berkata, pentauliahan tersebut mencerminkan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam memastikan program latihan kemahiran yang dilaksanakan memenuhi standard ditetapkan serta selari dengan keperluan sebenar industri.
Menurutnya, penghargaan wajar diberikan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan yang berperanan sebagai perancang utama pembangunan ekonomi negeri, sekali gus memastikan agenda TVET digerakkan secara menyeluruh.
Beliau juga memaklumkan bahawa sinergi antara data ekonomi yang dibekalkan UPEN dan kepakaran teknikal JPK menjadi formula terbaik dalam melahirkan tenaga kerja yang tepat serta memenuhi kehendak pasaran semasa.
Selain itu, katanya, Majlis TVET Negeri Kelantan turut memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menghubungkan dasar di peringkat Persekutuan dengan keperluan di peringkat negeri, sekali gus memastikan ekosistem TVET bergerak secara tersusun dan berkesan
“Tahniah kepada Majlis TVET Negeri Kelantan atas kejayaan memperoleh pentauliahan melalui Pusat Latihan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), KIAS Skills Development Centre (KIASDEC) serta jaringan kerjasama pondok dan tahfiz yang mematuhi sepenuhnya Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA),” ujarnya.
Antara program kemahiran yang menerima pentauliahan ialah Program Operasi Pengeluaran Tanaman melibatkan Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (KPKB), Huffaz Agro Farm, Maahad Tahfiz Darul Ulum, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan, Maahad Muhammadi Gua Musang, Pondok Pengajian Islam serta Pondok Ar-Rahmaniah Darul Quran.
Selain itu, Program Pengendalian Tanaman Cendawan (Tanah Rendah) turut ditauliahkan kepada Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (KPKB) dan Pondok Dakwah Islamiyyah Sri Permai, manakala Program Pengoperasian Masjid serta Pengajaran Tahfiz dilaksanakan melalui Pusat Pembangunan KIAS bersama rakan strategik berkaitan.
Sijil Pentauliahan tersebut telah disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Mamat diiringi Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Mengulas lanjut, Ketua Pengarah JPK berkata model ADI yang dilaksanakan merupakan pendekatan latihan berasaskan industri dengan nisbah 70 hingga 80 peratus pembelajaran di tempat kerja dan selebihnya di institusi latihan, sekali gus memberi pendedahan awal kepada pelatih terhadap realiti pekerjaan sebenar.
Jelasnya, pendekatan tersebut mampu mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran selain memastikan pelatih dilatih mengikut kehendak industri serta membentuk disiplin profesional sejak peringkat awal.
“Sehingga kini, sebanyak 2,578,043 Sijil Kemahiran Malaysia telah dikeluarkan oleh JPK, membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa TVET kini berada di landasan penting sebagai pemangkin utama dalam menjayakan aspirasi negara menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dengan penekanan kepada sektor berimpak tinggi dan bernilai tinggi.
Menurutnya lagi, latihan kemahiran di Kelantan perlu seiring dengan perkembangan semasa yang menuntut penguasaan teknologi tinggi, pendigitalan dan ekonomi hijau termasuk dalam bidang automasi, penyelenggaraan infrastruktur rel seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pengurusan logistik moden di pelabuhan Tok Bali.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa pendekatan ‘industry-led’ akan terus diperkukuh dengan memberi lebih ruang kepada pihak industri menentukan kurikulum latihan melalui National Occupational Skills Standards (NOSS) agar sistem latihan kekal relevan dan responsif terhadap keperluan industri semasa.














