Accessibility Tools

Skip to main content

137 pelajar cemerlang DUN Pengkalan Kubor terima sumbangan

Oleh: Asri Hamat

PENGKALAN KUBOR, 13 April — Sebanyak 137 pelajar cemerlang dari Dewan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang mencapai keputusan membanggakan dalam peperiksaan utama tahun 2025 menerima sumbangan kecemerlangan dalam satu majlis di Wisma Imtiyaz, di sini, Khamis lalu.

Pelajar yang diraikan terdiri daripada lepasan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP).

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan pencapaian para pelajar.

Menurutnya, penganjuran majlis tersebut bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan pelajar, malah menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah diri.

“Majlis ini diadakan sebagai satu bentuk penghargaan kepada pelajar cemerlang dan diharap dapat menyuntik semangat untuk mereka terus istiqamah dalam menuntut ilmu,” katanya menerusi media sosial, pada Jumaat.

Majlis berkenaan bermula dengan sesi motivasi sebagai pengisian awal bagi membina keyakinan diri serta meningkatkan semangat dalam kalangan pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500 kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, STAM dan STPM.

Kelayakan permohonan ditetapkan kepada pelajar yang memperoleh 9A bagi SPM, pangkat Mumtaz bagi STAM serta 4A bagi STPM.

Permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang Yayasan Islam Kelantan atau secara terus di pejabat agensi berkaitan bermula 9 April 2026, dengan tarikh tutup pada 19 April ini.

Pautan berjaya disalin!