Kelantan tekankan TVET Rabbani lahirkan tenaga mahir berakhlak
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 13 April — Kerajaan Negeri Kelantan memberi penekanan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteraskan nilai Rabbani dalam usaha melahirkan tenaga mahir yang bukan sahaja kompeten, malah berakhlak dan berintegriti.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Mamat berkata, pendekatan TVET di Kelantan tidak hanya tertumpu kepada kemahiran teknikal semata-mata sebaliknya merangkumi pembentukan sahsiah dan nilai spiritual yang seimbang.
Menurutnya, sebagai negeri yang dikenali sebagai Serambi Mekah, Kelantan dibangunkan atas asas tradisi keilmuan Islam yang kukuh, budaya masyarakat yang cintakan agama serta kepimpinan yang menitikberatkan pembangunan berteraskan nilai.
“Pembangunan sebenar bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi pembangunan manusia yang berilmu, beriman dan berakhlak,” katanya ketika merasmikan Majlis Libat Urus Majlis TVET Negeri Kelantan bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri serta Majlis Penyampaian Sijil Pentauliahan Akademi Dalam Industri (ADI), di sini.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited melahirkan Insan Rabbani yang mantap akidah, tinggi ilmu dan kemahiran, mulia akhlak serta ikhlas dalam amal, selari dengan hasrat membentuk generasi seimbang dunia dan akhirat.
Tambahnya, TVET kini menjadi laluan utama pembangunan modal insan serta pemacu ekonomi berasaskan kemahiran, selain menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan.
“Di Kelantan, kita mahu melahirkan pekerja mahir yang bukan sahaja cekap dalam bidang masing-masing, tetapi juga amanah, berintegriti dan menjadikan pekerjaan sebagai ibadah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa majlis libat urus berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri, agensi persekutuan, GLC, pihak industri serta institusi pendidikan dan latihan.
Katanya, kerjasama strategik itu penting bagi memastikan latihan yang ditawarkan relevan dengan kehendak industri, graduan memiliki kemahiran sebenar, peluang pekerjaan diperluas serta ekonomi negeri terus diperkasakan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa inisiatif Akademi Dalam Industri (ADI) merupakan pendekatan signifikan bagi merapatkan jurang antara dunia pendidikan dan dunia pekerjaan melalui penglibatan langsung pihak industry.
“Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih praktikal dan realistik, sekali gus melahirkan graduan yang lebih bersedia untuk terus bekerja,” katanya.
Dato' Wan Roslan turut berharap agar TVET terus diperkasakan sebagai arus perdana pendidikan, lebih banyak industri tampil sebagai rakan strategik, institusi pendidikan kekal inovatif serta generasi muda memilih TVET sebagai laluan kerjaya utama.
“Paling penting, kita mahu melahirkan generasi TVET Rabbani yang mampu membina ekonomi negeri tanpa mengabaikan tuntutan agama serta menjadi aset kepada ummah,” ujarnya.










