Cadangan pelaburan tenaga solar di Loji Air AKSB berpotensi tingkat kecekapan operasi
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 13 April — Cadangan pelaburan penjanaan tenaga solar di loji Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) oleh syarikat Dekad Aliran dilihat berpotensi meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh pengurusan utiliti air yang lebih mampan di negeri ini.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, hasil penelitian terhadap pembentangan cadangan berkenaan mendapati inisiatif itu mampu memberi manfaat jangka panjang kepada operasi loji air.
“Pemasangan sistem tenaga solar mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik konvensional, sekali gus menstabilkan kos operasi loji dalam jangka panjang,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Menurutnya, penggunaan tenaga solar turut membantu mengurangkan pelepasan karbon serta jejak karbon daripada operasi loji air, selaras dengan agenda kelestarian dan komitmen terhadap pembangunan hijau.
Beliau berkata, langkah tersebut mencerminkan kesediaan sektor utiliti air negeri dalam mengadaptasi teknologi tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada transformasi pengurusan infrastruktur.
“Inisiatif seperti ini amat penting dalam memastikan perkhidmatan utiliti terus berdaya tahan, cekap dan mesra alam pada masa hadapan,” jelasnya.












