Accessibility Tools

Skip to main content

ADN Pasir Pekan bersama anak Tumpat di perantauan


Jati diri Tumpat terus subur walau jauh dari tanah kelahiran

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media PKD Pasir Pekan

PANTAI DALAM, 13 April – Jati diri anak Tumpat terus kekal subur walaupun berada jauh dari tanah kelahiran apabila lebih 1,500 perantau berhimpun dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Bersama Anak Tumpat di Perantauan yang berlangsung di Dewan IWK Eco Park, di sini, pada Sabtu.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan YB Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob yang menekankan peranan besar anak perantau sebagai duta negeri Kelantan.

Menurutnya, walau di mana sahaja berada, anak-anak Tumpat perlu terus menghidupkan semangat silaturrahim serta menjaga nama baik negeri.

“Peranan kita sebagai anak perantau sangat besar. Di mana sahaja kita berada, hidupkan silaturrahim dan jagalah nama baik Tumpat serta Kelantan,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program berkenaan serta berharap keberkatan yang terjalin mampu diteruskan pada masa hadapan.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penganjuran majlis tersebut menjadi platform penting untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan anak Tumpat di perantauan khususnya di ibu kota.

ADN Pengkalan Kubor bersama anak Tumpat di perantauan

“Malam ini kita raikan anak-anak perantau Tumpat. Walaupun berada jauh, jangan sesekali melupakan negeri asal kita,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian juadah yang disajikan dibawa khas dari Kelantan, termasuk penyediaannya oleh chef dan tukang masak dari negeri itu bagi memberikan pengalaman suasana Aidilfitri seperti di kampung halaman.

Tambahnya, walaupun terdapat pelbagai persepsi negatif terhadap Kelantan, namun banyak perkara positif yang wajar dibanggakan oleh rakyat negeri tersebut.

Dalam masa sama, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berharap hubungan kekeluargaan dan semangat kenegerian dalam kalangan perantau terus diperkukuh agar tidak mudah direnggangkan oleh mana-mana pihak.

Majlis sambutan Aidilfitri itu turut dihadiri Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi.

Ahli Parlimen Tumpat bersama anak Tumpat di perantauan

Selain majlis sambutan Aidilfitri, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan pada waktu pagi bagi merapatkan hubungan sesama perantau, antaranya Program Bowling Anak Tumpat di Perantauan di Ampang Point yang melibatkan kira-kira 100 peserta dan telah dirasmikan oleh ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan.

Turut diadakan Perlawanan Bola Sepak Mahabbah Perantau Tumpat di Padang IWK Eco Park yang dirasmikan oleh ADN Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah.

Program Bowling Anak Tumpat di Perantauan

Perlawanan Bola Sepak Mahabbah Perantau Tumpat

Pautan berjaya disalin!