172 bakal haji dari Bachok dirai pemimpin setempat
Oleh: Irham Hilmi Hashim
BACHOK, 12 April — Sebanyak 172 bakal haji dari Bachok dirai oleh pemimpin setempat dalam Majlis Solat Hajat dan Meraikan Bakal Haji sebagai simbol kebersamaan persiapan rohani menjelang keberangkatan ke Tanah Suci.
Majlis yang menjadi platform menyantuni bakal jemaah itu berlangsung di Dewan Utama Kompleks Pendidikan Islam (KPI), Kampung Badak, semalam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin berkata, penganjuran program berkenaan memberi penekanan kepada pengukuhan spiritual di samping mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama, YB Mohd Huzaimy Che Husin
Menurutnya, berdasarkan maklumat Lembaga Tabung Haji, dianggarkan sebanyak 212 jemaah dari Bachok bakal menunaikan ibadah haji pada musim ini, mencerminkan peningkatan kesedaran umat Islam dalam melaksanakan tuntutan agama.
“Majlis ini merupakan manifestasi keprihatinan kita (pemimpin) dalam memastikan bakal jemaah haji mendapat sokongan menyeluruh, khususnya dari sudut rohani dan emosi sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Tidak semua orang dipilih tetapi tuan-tuan dan puan-puan adalah antara yang dipanggil oleh Allah SWT sebagai Duyufurrahman. Semoga perjalanan ibadah ini dipermudahkan dan dikurniakan haji yang mabrur serta diterima oleh Allah SWT,” katanya kepada bakal haji.
Beliau berkata, para bakal jemaah dari Bachok dijadualkan berangkat secara berperingkat bermula 22 April hingga 17 Mei 2026 mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan pihak berkuasa haji.
Tambahnya, pelaksanaan solat hajat secara berjemaah dalam majlis tersebut menjadi titik penting dalam memohon keberkatan, keselamatan dan kelancaran urusan para jemaah sepanjang menunaikan ibadah.
“Dalam suasana tawaduk, kita tadah tangan memohon setiap bakal haji diberikan kesihatan yang baik, kekuatan fizikal dan mental serta dipermudahkan segala urusan dari awal perjalanan hingga kembali ke tanah air,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bakal jemaah agar memanfaatkan peluang menunaikan haji dengan sebaik mungkin melalui disiplin tinggi, pematuhan garis panduan serta penumpuan sepenuhnya kepada ibadah.
“Saya berharap para bakal haji memperbanyakkan amalan, menjaga disiplin dan mengambil peluang ini untuk memperbaiki diri sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada bakal haji sebagai tanda sokongan dan keprihatinan pemimpin setempat melibatkan termasuk ADN Tawang YB Harun Ismail dan ADN Jelawat YB Zameri Mat Nawang.
















