Accessibility Tools

Skip to main content

Timbalan Pengarah (Akademik dan Pendidikan) ILDAN, Soleh Ibrahim


ILDAN bangunkan 15 modul latihan, perkasakan penjawat awam

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media ILDAN

KOTA BHARU, 12 April — Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) berjaya membangunkan sebanyak 15 modul kursus dan latihan sejak penaiktarafannya pada tahun 2020, sekali gus memperkukuh keupayaan penjawat awam melalui pendekatan latihan berteraskan nilai Rabbani.

Inisiatif strategik itu dilihat sebagai nilai tambah signifikan dalam usaha melahirkan penjawat awam yang bukan sahaja profesional, malah memenuhi ciri insan Rabbani yang seimbang dan holistik.

Timbalan Pengarah (Akademik dan Pendidikan) ILDAN Soleh Ibrahim berkata, pembangunan modul berkenaan dilaksanakan melalui sinergi bersama panel pakar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurutnya, kerjasama tersebut memberi impak besar terhadap peningkatan kompetensi penjawat awam, khususnya dalam penguasaan ilmu generik dan fungsional.

“Bidang utama yang diberi penekanan merangkumi aspek kepimpinan, integriti, pendidikan, dakwah, komunikasi, penyelidikan serta kecekapan dalam penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat,” katanya menerusi media sosial ILDAN, pada Jumaat.

Antara modul utama yang dibangunkan termasuk Smart UMI (Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan), Pendidikan Rabbani, Budaya Komuniti Rabbani (K-RABB), Asas Pedagogi Rabbani, Asas Pentadbiran Sekolah serta Kepimpinan Pengetua.

Selain itu, turut diperkenalkan modul Smart ITQAN, Sisipan Pengajaran Sains Rabbani, Imej dan Profesional Pendakwah, Kepimpinan Guru Dakwah, Komunikasi Organisasi Berimpak serta Kepimpinan Ihtirafi.

Modul lain meliputi Pengajaran Bahasa Arab Pendekatan i-Baraka, Integriti Perspektif UMI serta Emosi Positif dan Pekerja Produktif.

Beliau berkata, pelaksanaan kursus bagi setiap modul ditetapkan antara satu hingga tiga hari bergantung kepada kandungan serta keperluan semasa agensi.

“Penyelarasan tempoh ini penting bagi memastikan keberkesanan latihan dapat dicapai secara optimum,” katanya.

Tambahnya, semua modul dibangunkan dengan mengaplikasikan Model Pembangunan Modul dan Kejurulatihan (W-PASKi) bagi menjamin kualiti serta keseragaman latihan.

“Modul ini menjadi panduan berstruktur yang memastikan pembangunan modul berteraskan sumber wahyu, warisan ulama dan nilai watan, di samping mengintegrasikan pengetahuan serta pengalaman.

“Dokumen ini menterjemahkan amalan terbaik ke dalam aplikasi semasa yang praktikal, dengan pendekatan yang mampu membawa perubahan sikap dan sahsiah peserta secara mendalam,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!