Accessibility Tools

Skip to main content

Pemimpin negeri santuni anak Kelantan di Melaka

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco

BUKIT KATIL, 12 April — Pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan menyantuni kira-kira 300 anak Kelantan yang bermastautin di Melaka dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perakan Cawangan Melaka, sekali gus mengeratkan hubungan antara pimpinan negeri dan rakyat perantauan.

Majlis yang menjadi platform “ttemu mato” yang mempertemukan anak-anak Kelantan dengan pemimpin negeri dalam suasana Aidilfitri yang penuh mesra itu berlangsung di Dewan Muallim Bukit Katil, pada Sabtu.

Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, program seumpama itu dapat menghidupkan suasana perayaan dalam kalangan perantau dan menjadi jambatan penting dalam memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dengan rakyat di luar Kelantan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud

“Majlis seperti ini memberi ruang kepada anak-anak Kelantan di perantauan untuk terus berhubung dengan perkembangan semasa negeri, di samping mengukuhkan rasa kasih dan kebersamaan terhadap tanah air,” katanya ketika menerusi media sosial, semalam.

Beliau berkata, pendekatan turun padang dan mendekati rakyat di luar negeri merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan serta suara anak Kelantan sentiasa diberi perhatian.

“Kerajaan negeri komited memastikan hubungan ini tidak terputus. Kita mahu anak-anak Kelantan di mana sahaja berada terus bersama dan menyokong agenda pembangunan negeri,” ujarnya.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan turut dihadiri barisan pemimpin negeri termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumbuh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus,  ADN Chetok YB Zuraidin Abdullah, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Ahmad Marzuk Shaari dan Pemangku Presiden Perakan Malaysia Mohd Ariff Yusoff bersama pasukannya serta wakil masyarakat pelbagai kaum.

Pautan berjaya disalin!