Program Dapur Hijau diperluas ke Melaka, terima sambutan memberangsangkan
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 12 April — Program Dapur Hijau berteraskan konsep pertanian skala kecil diperluas ke Melaka dan menerima sambutan memberangsangkan daripada komuniti setempat, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan DUN Pantai Kundor di Parlimen Tangga Batu.
Sejumlah 68 peserta telah mendaftarkan diri untuk menyertai program berkenaan yang memfokuskan kepada konsep “mini edible garden” atau kebun kecil tanaman yang boleh dimakan di kediaman masing-masing.
Inisiatif tersebut dilihat praktikal dalam membantu golongan ibu tunggal, suri rumah serta asnaf mengusahakan tanaman sebagai sumber makanan harian, di samping berpotensi menjana pendapatan tambahan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program berkenaan merupakan usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan pertanian bandar yang mudah dilaksanakan.
Menurutnya, peserta turut dibekalkan Kit Pemula Dapur Hijau bagi memudahkan mereka memulakan aktiviti penanaman secara lebih tersusun dan berkesan.
“Inisiatif ini sebelum ini dilaksanakan secara aktif di Kelantan dan kini diperluas ke Melaka melalui pendedahan serta perkongsian kepakaran oleh Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd,” katanya menerusi media sosial pada Jumaat.
Menurutnya lagi, peluasan program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pertanian bandar, selain mengukuhkan jaminan bekalan makanan di peringkat isi rumah.
“Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada peserta,” jelasnya.
Tambahnya, usaha berterusan seperti itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pertanian bandar yang lebih mampan, sekali gus memperkasa ekonomi komuniti di peringkat akar umbi.












