MDM-PKD Kemuning jayakan Program Gotong-Royong Machangku Ceria bersama komuniti
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media DUN Kemuning
MACHANG, 9 April — Kerjasama strategik antara Majlis Daerah Machang (MDM) dan Pusat Khidmat DUN (PKD) Kemuning dizahirkan menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Machangku Ceria bersama komuniti yang berjaya menceriakan kawasan pintu masuk Bandar Machang, semalam.
Program yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari itu melibatkan 64 peserta terdiri daripada ahli Majlis Daerah Machang, kakitangan Pusat Khidmat DUN Kemuning serta masyarakat setempat.
Aktiviti tertumpu kepada kerja-kerja mengecat pagar dan membersihkan kawasan bermula dari perkarangan Pejabat DUN Kemuning hingga ke Masjid Jajahan Machang serta kawasan hadapan Pusat Giat MARA Machang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan kesepaduan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan institusi perkhidmatan rakyat dalam memperkasa agenda kebersihan serta kesejahteraan komuniti.
“Kerjasama strategik antara Majlis Daerah Machang dan Pusat Khidmat DUN Kemuning dan penduduk tempatan ini dapat memperkukuh hubungan antara agensi dan berjaya menggerakkan penglibatan aktif masyarakat setempat dalam usaha menjaga kebersihan persekitaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa budaya gotong-royong perlu terus disemai sebagai amalan berterusan dalam kalangan komuniti.
“Amalan gotong-royong seperti ini wajar dijadikan budaya hidup kerana ia bukan sahaja mencantikkan kawasan, malah mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap persekitaran,” ujarnya.
Tambahnya, usaha berterusan seumpama ini diyakini mampu merealisasikan hasrat menjadikan Machang khususnya dan negeri secara amnya sebagai kawasan yang bersih, indah dan ceria.
“Insya Allah, dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, kita mampu mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan harmoni demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Machang Mohd Zamri Ibrahim.
















