Accessibility Tools

Skip to main content

Peserta Tuisyen Rakyat Sejahtera DUN Wakaf Bharu raih 9A SPM

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Wakaf Bharu

TUMPAT, 9 April — Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) anjuran Dewan Negeri (DUN) Wakaf Bharu membuktikan keberkesanannya apabila seorang pesertanya berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada 31 Mac lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, pencapaian tersebut mencerminkan impak positif inisiatif pendidikan berasaskan komuniti dalam melahirkan pelajar berprestasi tinggi.

“Alhamdulillah, pada 2 April saya turun dari rumah ke rumah bagi meraikan anak-anak pelajar Wakaf Bharu yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM, termasuk yang memperoleh 9A,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi pada Jumaat.

Pelajar berkenaan, Nor Aimi Alifah Mohd Zulkaflee, 17, pelajar Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah Chabang Empat Tumpat dari Kampung Talak merupakan antara 60 peserta Program TRS DUN Wakaf Bharu yang berjaya meraih keputusan 9A.

Dalam pada itu, lapan lagi pelajar dari kawasan sama turut mencatat keputusan 9A, sekali gus mengharumkan nama Wakaf Bharu.

Mereka ialah Nur Ain Damia Norashid, Nur Tasnim Muhamad Ridzuan dan Muhammad Irfan Mansor dari Kampung Padang Rokma; Wan Ahmad Muizzuddin Wan Abdul Nazir (Jalan Belakang Stesen, Wakaf Bharu); Nur Umairah Mohd Ranzi (Kampung Kubang Batang); Nur Aimuni Osman (Kampung Chabang Empat); Afifi Nasuha Mohd Zulisan (Kampung Chenderong Batu) serta Nur Hani Damia Mat Zaki (Kampung Bunut Sarang Burung).

Sementara itu, YB Mohd Rusli turut meneruskan usaha menyantuni pelajar cemerlang menerusi Ziarah Pelajar Cemerlang Fasa 2 melibatkan lima lagi pelajar yang diadakan pada 6 April lalu.

Antara yang diraikan ialah Dylan Wong Yu Yang dari Kampung Kulim (SMK Chung Hwa) yang memperoleh 11A+, Loo Yunn Xuen dari kampung sama dengan 10A serta Durratun Husna Mohd Sukri dari Kampung Kubang Batang (SMK Falahiah) yang meraih 10A.

Turut diraikan ialah Mohamad Zahir Elmam Mohd Zainudin dan Umar Darryl Abdul Aziz Mohd Amin Yap, masing-masing dari Kampung Chenderong Batu dan Kampung Kebakat yang menuntut di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra dan memperoleh keputusan 9A.

Menurut beliau, pihak DUN Wakaf Bharu akan terus komited memperluas inisiatif pendidikan termasuk program tuisyen bagi membantu lebih ramai pelajar mencapai kecemerlangan akademik.

Tambahnya, satu majlis khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi meraikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 7A ke atas sebagai tanda penghargaan.

“Para pelajar boleh mengisi Borang Sumbangan Pelajar Cemerlang DUN Wakaf Bharu yang boleh didapati di Pejabat Wisma Purnama, Kampung Belukar,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!