Pelajar Kelantan di Timur Tengah selamat, kerajaan negeri pantau rapi situasi
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 9 April — Semua pelajar Kelantan yang sedang menuntut di Timur Tengah dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan perkembangan konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel, dengan kerajaan negeri terus memantau situasi secara rapi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya telah berhubung dengan kedutaan Malaysia di negara terlibat dan dimaklumkan bahawa tahap keselamatan pelajar adalah terkawal.
“Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Mabna, di sini, pada Rabu.
Menurut Dato’ Wan Roslan, dianggarkan kira-kira 200 pelajar Kelantan berada di Jordan manakala lebih 800 pelajar di Mesir. Jordan dikenal pasti sebagai lokasi paling hampir dengan kawasan konflik kerana berjiran dengan Israel.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada keperluan untuk membawa pulang pelajar berkenaan memandangkan keadaan masih terkawal.
“Kita berharap situasi akan kembali aman dan konflik ini dapat ditamatkan segera supaya pelajar dapat meneruskan pengajian dengan baik,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya kekal tenang dan mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi, termasuk Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan serta pegawai bertugas di Mesir.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Kelantan menerima tawaran menghantar pelajar di bawah kelolaan YIK ke Korea Selatan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melibatkan kuota sebanyak 15 orang.
Menurutnya, pelajar terpilih akan ditaja oleh Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).
Selain itu, kerajaan negeri juga sedang memperluaskan peluang pendidikan teknikal ke Jerman, namun permohonan masih dalam proses.
“Kita akan terus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dalam bidang teknikal dan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.








