Cadangan penambahbaikan sistem perakaunan PBT diperhalusi – Exco Kerajaan Tempatan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 8 April - Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah mengambil langkah proaktif dengan memperhalusi cadangan penambahbaikan sistem perakaunan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tadbir urus kewangan lebih telus, berintegriti dan berdaya saing.
Menurutnya, dalam landskap pentadbiran masa kini, sistem perakaunan yang cekap dan tersusun merupakan keperluan penting bagi memastikan setiap PBT beroperasi secara mampan dan efisien.
“Pengurusan kewangan yang sistematik dan berasaskan teknologi mampu memastikan rekod kewangan lebih teratur, dikemas kini secara berkala serta meningkatkan tahap ketelusan dalam pentadbiran,” jelasnya menerusi laman sosial, hari ini.
YB Hilmi menjelaskan demikian selepas meneliti cadangan berkaitan yang dibentangkan oleh EXP Solution Sdn Bhd dalam satu pertemuan khas di pejabatnya, semalam.
Menurutnya, fokus utama usul tersebut adalah terhadap penggunaan teknologi perakaunan moden bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan PBT.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan penggunaan sistem perakaunan digital dan perisian pengurusan kewangan moden berpotensi meningkatkan kecekapan melalui rekod transaksi yang lebih tepat, pantas dan selamat.
“Ia bukan sahaja membantu dalam pemantauan aliran tunai dan penyediaan laporan kewangan, malah menyokong urusan pembayaran serta mengurangkan risiko kesilapan manusia,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya akan meneliti cadangan berkenaan secara menyeluruh bersama pihak berkuasa tempatan, Bahagian Kerajaan Tempatan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan keperluan semasa.
Tambahnya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan setiap penambahbaikan sistem dapat dilaksanakan secara holistik dan memberi impak maksimum kepada pengurusan kewangan PBT.
“Langkah ini selari dengan hasrat untuk memperkasa PBT agar lebih cekap, telus dan berintegriti melalui sistem pengurusan kewangan yang mantap,” katanya.












