Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat


Kelantan umum insentif RM500 kepada pelajar cemerlang SPM, STAM dan STPM 2025

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 8 April – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengumumkan pelaksanaan Anugerah Kecemerlangan peperiksaan tahun 2025 sebagai penghargaan kepada pelajar cemerlang negeri itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, anugerah berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mengiktiraf usaha serta pencapaian akademik pelajar dalam peperiksaan utama.

“Anugerah ini melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mencapai keputusan cemerlang.

“Setiap pelajar yang layak akan menerima insentif kewangan sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan."

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di Mabna, hari ini.

Menurutnya, bagi kelayakan SPM, pelajar perlu memperoleh sekurang-kurangnya 9A, manakala STAM dengan pangkat Mumtaz dan STPM pula keputusan 4A.

Tambah Dato' Wan Roslan, anugerah itu terbuka kepada anak kelahiran Kelantan yang menduduki peperiksaan sama ada di dalam atau luar negeri.

Anugerah tersebut juga melibatkan pelajar bukan kelahiran negeri Kelantan yang mengambil peperiksaan di Kelantan.

“Ini mencerminkan keterbukaan kerajaan negeri dalam memastikan semua pelajar yang menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan di Kelantan turut diberi pengiktirafan sewajarnya,” jelasnya.

Permohonan anugerah akan dibuka mulai 9 April 2026 dan borang boleh diperolehi di Pejabat YIK atau melalui laman sesawang rasmi YIK.

“Tarikh tutup permohonan adalah pada 19 April ini dan pelajar yang layak diseru agar tidak melepaskan peluang berkenaan,” katanya.

Tambahnya, inisiatif berupa ganjaran kewangan itu adalah simbol galakan dan motivasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.

“Kerajaan negeri percaya pelaburan dalam pendidikan adalah asas kepada pembangunan ummah dan negeri yang lebih maju serta berdaya saing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata implikasi kewangan bagi pelaksanaan anugerah itu dianggarkan tidak melebihi RM1 juta.

“Tahun lepas sebanyak 1,200 pelajar layak menerima anugerah ini dan jumlah itu dijangka meningkat tahun ini berikutan peningkatan prestasi termasuk di sekolah luar bandar.

“Sebagai contoh, Sekolah YIK Rahmaniah Paloh di Gua Musang mencatatkan dua pelajar memperoleh 10A, manakala sekolah Lepah di Selising, Pasir Puteh merekodkan ada pelajar yang mendapat 11A,” katanya.

Pautan berjaya disalin!