Kelantan dipilih lokasi mesyuarat pertama IPTN, MB Kelantan zahir penghargaan
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 8 April – Pemilihan Kelantan sebagai tuan rumah mesyuarat kali pertama Institusi Pengajian Tinggi milik Kerajaan Negeri (IPTN) mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan negeri ini dalam memperkukuh landskap pendidikan tinggi negara.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memilih negeri ini sebagai tuan rumah, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap peranan Kelantan dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Menurutnya, penganjuran mesyuarat tersebut bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi, malah membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas dalam memperkasa agenda pendidikan.
“Institusi Pengajian Tinggi bukan sekadar tempat melahirkan graduan, ia merupakan wadah penting dalam membentuk insan yang berilmu, berakhlak, dan beramal dengan ilmunya, seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan tanah air,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, semalam.
Beliau berkata demikian selepas meraikan delegasi Naib Canselor dan Rektor IPTN dari seluruh negara dalam satu majlis makan malam yang berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar, semalam.
Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, Pengerusi Persatuan IPTN merangkap Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Dato' Dr Wan Sabri Wan Yusof serta Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Prof. Dr Mazlan Ibrahim.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menjalin kerjasama erat dengan institusi pengajian tinggi dalam usaha memperkasa pembangunan pendidikan yang holistik dan berdaya saing.
“Insya Allah, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited memberikan kerjasama yang erat dan berterusan bersama institusi pengajian tinggi demi masa depan anak bangsa,” ujarnya.














