Dabong tersenarai antara 10 bandar paling bahagia 2026
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco dan Media Majlis Daerah Dabong
KOTA DARULNAIM, 8 April – Dabong di Kuala Krai, Kelantan diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2026 sempena Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya.
Pengiktirafan tersebut diumumkan hasil penilaian komprehensif yang menggabungkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia serta sistem MURNInets oleh PLANMalaysia.
Penilaian itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kesejahteraan fizikal, sosial dan emosi penduduk selain tahap kualiti perkhidmatan perbandaran yang dinikmati oleh penduduk setempat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, pengiktirafan itu mencerminkan usaha bersepadu pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan komuniti setempat terus dipelihara.
“Sekalung tahniah diucapkan kepada Majlis Daerah Dabong dan seluruh warga Dabong atas pencapaian yang membanggakan ini,” katanya menerusi media sosial pada Selasa.
Sementara itu, pihak Majlis Daerah Dabong (MDD) dalam satu hantaran di media sosial semalam memaklumkan bahawa pengiktirafan tersebut bukan sekadar anugerah, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan dalam membina komuniti yang sejahtera, harmoni dan lestari.
Menurutnya, kejayaan itu didorong oleh komitmen warga kerja MDD, sokongan kepimpinan serta Ahli Majlis, selain kerjasama erat agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta semangat positif masyarakat setempat.
“Dabong bukan sekadar sebuah destinasi kecil, tetapi sebuah komuniti yang membesar dengan jiwa kebahagiaan,” menurut kenyataan itu.
Tambah MDD lagi, dengan tema “Bijak Digital, Cipta Bahagia Bersama”, MDD akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkasa pembangunan lestari dan memastikan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan.
Dabong juga turut dikenali sebagai destinasi eko-pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi seperti Air Terjun Jelawang, Kompleks Gua Ikan dan Stong Geopark, sekali gus menjadikannya antara lokasi yang menawarkan pengalaman kehidupan yang seimbang dan bermakna.
Selain Dabong, pengiktirafan bandar paling bahagia 2026 turut diberikan kepada Kluang, Mersing, Simpang Renggam di Johor, Kuala Terengganu, Marang, Permaisuri di Terengganu, Raub, Bandar Lipis di Pahang dan Ranau di Sabah.














