Khidmat Malaysia perkemas strategi, tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media Dato' Rohani
KUALA TERENGGANU, 7 April – Khidmat Malaysia terus memperkemas strategi dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana melalui penganjuran Pemukiman Khidmat Malaysia yang berlangsung selama dua hari di AM Transit Inn, di sini, pada 4 hingga 5 April lalu.
Program tersebut menghimpunkan pemimpin dan penggerak sukarelawan dari seluruh negara bagi memperkukuh hala tuju gerak kerja kebajikan dan pengurusan bencana agar lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.
Pengerusi Khidmat Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, menegaskan bahawa organisasi itu memikul peranan besar dalam mendepani cabaran bencana yang semakin tidak menentu.
“Program ini menghimpunkan akal fikir dan tekad jiwa dari seluruh negeri untuk memerah buah fikiran, menenun hala tuju serta menyusun taqwim yang lebih terarah,” katanya dalam kenyataan di laman rasmi, pada Sabtu.
Menurutnya, pertemuan tersebut menjadi ruang penting untuk memperhalusi strategi serta memperkukuh kesiapsiagaan jentera di semua peringkat.
“Pertemuan ini menjadi ruang yang sarat dengan pertimbangan; strategi diperhalusi dan kesiapsiagaan diperkukuh dalam menghadapi gelombang musibah yang kian tidak terduga,” katanya.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Terengganu YB Dato' Hanafiah Mat dan turut dihadiri Pengerusi Khidmat Malaysia Kelantan yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim.
Pemukiman berkenaan turut membentangkan visi, misi dan moto sebagai panduan jelas kepada seluruh jentera dalam melaksanakan amanah dengan lebih fokus, tersusun dan berimpak tinggi.
Datuk Dr Ahmad Marzuk turut menegaskan bahawa gerak kerja kebajikan perlu digerakkan secara kolektif dengan menggabungkan kepakaran serta kekuatan sedia ada.
“Gerak khidmat ini terus disusun, tenaga dihimpun, kepakaran dipadukan dan empati dirangkai dalam satu jaringan yang hadir pada waktunya,” ujarnya.
Beliau berharap segala perancangan yang dirangka dalam pemukiman tersebut dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas dan berkesan di lapangan.
“Mudah-mudahan setiap yang direncana menjadi asbab hadirnya bantuan yang lebih awal, lebih tersusun dan lebih bermakna tatkala rakyat benar-benar memerlukan,” jelasnya.














