Accessibility Tools

Skip to main content

Kesihatan rakyat diutamakan, Kelantan pergiat kempen tangani isu obesiti

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 7 April — Kerajaan Negeri Kelantan terus mempergiat kempen meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat bagi menangani isu obesiti yang semakin membimbangkan, bersempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2026, hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, cabaran kesihatan awam di negara ini kian meruncing apabila 54.4 peratus rakyat dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan (obesiti), manakala sebanyak 2.85 juta kanak-kanak dan remaja turut berdepan isu sama.

Menurutnya, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan keperluan mendesak untuk memperbaiki gaya hidup dan amalan pemakanan dalam masyarakat.

“Kerajaan negeri komited meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan melalui pelbagai inisiatif berterusan.

“Antara fokus utama termasuk menggalakkan pemakanan sihat, meningkatkan penglibatan dalam aktiviti fizikal secara konsisten serta memperluas saringan awal penyakit tidak berjangkit,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Beliau berkata, kesihatan yang baik bukan sahaja penting untuk kesejahteraan hidup, bahkan menjadi asas kekuatan umat Islam dalam melaksanakan ibadat dengan lebih sempurna.

“Tubuh badan yang sihat membolehkan kita menunaikan solat dengan lebih khusyuk, berpuasa dengan lebih baik serta melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah dengan penuh tenaga dan istiqamah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha menjaga kesihatan memerlukan komitmen bersama, bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.

“Setiap langkah kecil seperti mengurangkan pengambilan gula, meningkatkan aktiviti fizikal dan menjaga keseimbangan emosi merupakan pelaburan besar untuk masa depan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama membudayakan gaya hidup sihat dalam usaha membina masyarakat yang lebih cergas dan sejahtera.

“Kesihatan adalah kekayaan sebenar,” tegasnya.

Pautan berjaya disalin!