Accessibility Tools

Skip to main content

ADN Kelaboran santuni pelajar cemerlang SPM melalui ziarah rumah ke rumah

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN Kelaboran

TUMPAT, 7 April – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan menyantuni pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 melalui program ziarah dari rumah ke rumah sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka.

Beliau memaklumkan ziarah tersebut melibatkan pelajar yang memperoleh keputusan 7A ke atas, selain turut menyampaikan sumbangan wang tunai serta gubahan bunga dan coklat sebagai cenderahati.

Menurutnya, program ziarah berkenaan telah dilaksanakan dalam dua siri bermula pada 2 April melibatkan Mukim Kampung Besut, Tanjung Che Mas, Kelaboran dan Jubakar Pantai.

“Seterusnya pada 5 April, kami menziarahi pelajar di mukim Kampung Chat, Gerong, Sungai Pinang, Pulau Besar dan Kok Keli.

“Ziarah ini akan diteruskan lagi pada tarikh lain melibatkan mukim Berangan, Cabang Tiga Berangan dan Selehong,” katanya di laman rasmi pada Ahad.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada ibu bapa dan penjaga yang berjaya mendidik anak-anak dengan penuh komitmen serta meletakkan keutamaan terhadap pendidikan sehingga mencapai kejayaan cemerlang.

Tambahnya, kejayaan tersebut diharap dapat menjadi pemangkin motivasi kepada para pelajar untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

“Melihat senyuman mereka, jelas terpancar kegembiraan hasil usaha tanpa jemu dan doa yang tidak putus daripada ibu bapa. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk masa depan yang lebih gemilang,” ujarnya.

Pautan berjaya disalin!