Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Alam Sekitar tinjau kebakaran Tapak Pelupusan Bukit Che Ros, pastikan kawalan lindungi kualiti udara

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 7 April — Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah meninjau lokasi kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Che Ros, Tanah Merah bagi melihat sendiri operasi pemadaman serta langkah kawalan yang dilaksanakan bagi memastikan insiden itu tidak menjejaskan kualiti udara dan kesihatan penduduk sekitar.

Lawatan yang diadakan susulan kejadian pada Ahad itu memberi tumpuan kepada penilaian menyeluruh terhadap situasi semasa, termasuk keberkesanan tindakan pengawalan asap dan sisa pembakaran.

Menurutnya, operasi pemadaman kini giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan kerjasama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta pihak berkuasa tempatan berhampiran.

“Kerjasama pelbagai agensi amat penting bagi memastikan kebakaran ini dapat dikawal dengan segera, selain mengurangkan kesan asap dan sisa pembakaran kepada penduduk sekitar,” katanya menerusi  media sosial pada Isnin.

Turut hadir ke lokasi ialah Setiausaha MDTM Mohd Khairil Hazmie Yusof, Ketua Whip Ahli Majlis MDTM Mohd Nazir Yusoff, wakil Kelantan Utiliti Mubarak (KUM) serta beberapa agensi teknikal berkaitan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemadaman.

“Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus. Diharapkan api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya.

Insiden kebakaran tersebut kini berada dalam pemantauan berterusan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan terkawal serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

Pautan berjaya disalin!