Kemarau kritikal, rakyat digesa jimat air — Exco Air
Oleh: Irham Hilmi Hashim
KOTA BHARU, 7 April — Rakyat Kelantan digesa mengamalkan penjimatan air secara berhemah susulan keadaan kemarau yang kini berada pada tahap kritikal dan berpanjangan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, situasi semasa menunjukkan tanda-tanda ketara penyusutan sumber air termasuk paras sungai, sekali gus memberi tekanan kepada sistem bekalan air negeri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Pauh Cabang Tiga, Kedai Buloh, di sini, pada Isnin.
“Musim kemarau kali ini telah diberi amaran oleh pihak berwajib berada pada tahap tinggi dan berpanjangan. Keadaan persekitaran semakin kering serta paras air sungai yang menunjukkan penyusutan ketara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar menggunakan air secara berhemah memandangkan sumber utama seperti sungai turut terjejas akibat kemarau.
“Sumber air utama mengalami penyusutan, menyebabkan bekalan tidak dapat disalurkan sepenuhnya. Justeru, rakyat disarankan berjimat dalam penggunaan air, khususnya ketika musim panas ini,” jelasnya.
Menurutnya, telaga jejari di bawah pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut terkesan, sekali gus menambah cabaran dalam memastikan kestabilan bekalan air kepada pengguna.
“Keadaan ini memberi cabaran kerana tempoh kemarau sukar dijangka. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan penggunaan air lebih terkawal,” katanya.
Dalam usaha memastikan bekalan air terus mencukupi, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) dengan mempercepatkan kerja pembaikan paip bocor.
“Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini walaupun melibatkan kos tinggi, kerana keutamaan adalah memastikan bekalan air sampai kepada rakyat,” tegasnya.
Selain itu, langkah mitigasi turut melibatkan penyediaan tangki statik serta pengoperasian lori tangki air di kawasan terjejas bagi memastikan bekalan berterusan.
“Kita memberi keutamaan kepada kawasan yang benar-benar terjejas dengan memastikan penghantaran bekalan air dilaksanakan secara konsisten,” katanya.








