Kerja kebajikan urusan dengan Allah, bukan sekadar hulur bantuan — Exco Kebajikan
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
KOTA DARULNAIM, 7 April — Kerja kebajikan tidak boleh dilihat sekadar menyalurkan bantuan, sebaliknya merupakan amanah besar yang berkait langsung dengan hubungan seorang hamba dengan Allah, tegas Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga YB Dato’ Rohani Ibrahim.
Beliau berkata, setiap usaha membantu golongan memerlukan mempunyai nilai ganjaran yang tinggi di sisi Allah walaupun pada zahirnya dilihat sebagai bantuan sesama manusia.
“Kerja kebajikan ini bukan sekadar bantu manusia, tetapi sebenarnya kita sedang berurusan dengan Allah Taala. Walaupun di depan mata kita bantu mereka yang susah, hakikatnya ganjaran itu daripada Allah,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.
Terdahulu, beliau menyampaikan amanat khas pada Perhimpunan Bulanan April Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan di Rumah Seri Kenangan Pengkalan Chepa, di sini.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah JKM Negeri Kelantan Che Samsuzuki Che Noh atas komitmen berterusan dalam memperkasa agenda kebajikan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan kerja kebajikan menuntut penglibatan menyeluruh semua pihak dan tidak boleh digalas secara bersendirian.
“Kerja baik ini tidak boleh dibuat seorang-seorang. Semua kena main peranan kerana dalam kehidupan, kita saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar terus memupuk sikap cakna, prihatin dan ringan tangan dalam membantu golongan yang memerlukan sebagai manifestasi nilai kemanusiaan dan keimanan.














