Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan ziarah mangsa kebakaran, Dato’ Dr Izani cadang bantuan sewa rumah enam bulan

Oleh: Irham Hilmi Hashim

KOTA BHARU, 6 April — Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa kebakaran di Kampung Pauh, Kedai Buloh, manakala Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang YB Dato’ Dr Izani Husin mencadangkan inisiatif bantuan sewaan rumah selama enam bulan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.

Kebakaran yang melibatkan lapan buah rumah itu mengakibatkan mangsa kehilangan tempat tinggal serta harta benda, sekali gus menuntut tindakan segera pelbagai pihak.

Dato’ Dr Izani berkata, cadangan bantuan sewaan rumah itu akan dibawa kepada kerajaan negeri bagi memastikan mangsa mempunyai tempat perlindungan sementara.

“Insya Allah saya akan bawa kepada kerajaan untuk inisiatif sewaan rumah, mungkin sekitar RM500 sebulan untuk tempoh enam bulan. Ini bermakna setiap mangsa akan menerima sekitar RM3,000. Sekurang-kurangnya mereka ada tempat tinggal sementara dan ruang untuk bangkit semula,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Exco Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Kijang, YB Dato’ Dr Izani Husin

Menurut beliau, tragedi berkenaan memberi kesan mendalam kepada mangsa, khususnya yang kehilangan keseluruhan harta benda dan sumber pendapatan.

“Kita rasa terharu kerana kebakaran ini memusnahkan segala harta dan simpanan mereka. Ada yang perlu memulakan hidup baharu dalam keadaan amat sukar. Jadi mereka ini perlu dibantu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa satu tabung bantuan telah dibuka bagi menyalurkan sumbangan secara terus kepada mangsa.

“Saya membuka tabung bantuan untuk mangsa kebakaran ini supaya dana dapat dikumpulkan dan disalurkan terus kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan sokongan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menambah sumber bantuan.

“Insya Allah kita akan mohon sumbangan daripada GLC bagi membantu menampung keperluan mangsa yang kini kehilangan harta benda dan simpanan,” katanya.

Selain bantuan kewangan, bantuan keperluan asas seperti pakaian serta bantuan persekolahan turut disalurkan kepada keluarga mangsa, termasuk sumbangan sekitar RM300 seorang kepada anak-anak yang masih bersekolah.

Dato’ Dr Izani turut menyeru orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menghulurkan bantuan.

“Saya menyeru mana-mana NGO atau individu yang ingin membantu, dipersilakan. Yang penting mangsa ini dapat dibantu dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mangsa yang mempunyai perniagaan agar meneruskan aktiviti ekonomi masing-masing sebagai langkah untuk bangkit semula.

“Kita harap mereka yang berniaga dapat meneruskan usaha supaya dapat kembali kepada kehidupan asal. Dengan sokongan semua pihak, insya-Allah mereka mampu memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Beliau berharap cadangan bantuan sewaan rumah tersebut dapat dipertimbangkan dan diluluskan segera bagi memberi kelegaan kepada mangsa yang kini berdepan isu tempat tinggal.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim.

Pautan berjaya disalin!