Isu rempit di LTSIP tidak wajar digeneralisasi, majoriti belia Kelantan aktif dalam bidang positif
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 6 April — Isu aktiviti rempit di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa tidak wajar dilihat secara sempit atau digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan anak muda Kelantan.
“Isu ini tidak wajar dilihat secara sempit atau digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan anak muda Kelantan.
“Majoriti belia di negeri ini sebenarnya aktif dalam bidang pendidikan, sukan, keusahawanan serta pelbagai program pembangunan diri yang positif,” kata Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, YB Zamakhshari Muhamad menerusi kenyataan di laman sosial, hari ini.
Beliau menegaskan kerajaan negeri memandang serius sebarang perlakuan tidak sihat yang boleh membahayakan keselamatan awam dan tidak akan berkompromi terhadap aktiviti tersebut.
Menurutnya, langkah penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi memastikan pemantauan berterusan di kawasan berisiko.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri mengguna pakai pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek penguatkuasaan, pembangunan belia dan penyediaan kemudahan riadah sebagai alternatif kepada golongan muda.
“Pelbagai program pembangunan belia terus dipergiat termasuk inisiatif di bawah Kelantan Future Leaders Institute dan Anak Muda Rakan Al-Quran, selain program akar umbi melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BES),” jelasnya.
Beliau berkata, platform penglibatan belia turut diaktifkan di peringkat negeri dan komuniti dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bagi menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sukan, kesukarelawanan dan keusahawanan.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan riadah dan aktiviti alternatif yang lebih selamat termasuk pewartaan tanah kerajaan sebagai tapak sukan motocross di Mukim Sokor, Tanah Merah serta penambahbaikan kemudahan rekreasi keluarga di seluruh negeri.
Selain itu, program permotoran sihat seperti RXZ Forever Legend dan Mat Motor Day turut disokong sebagai platform alternatif kepada golongan belia.
Beliau menegaskan bahawa isu sosial seperti aktiviti rempit memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, komuniti dan anak muda sendiri.
“Kerajaan negeri akan terus komited memastikan keselamatan awam terpelihara, memperkasa pembangunan belia secara holistik serta menyediakan ruang dan peluang konstruktif kepada anak muda.
“Isu ini perlu ditangani secara bijaksana dengan fokus kepada penyelesaian jangka panjang, bukan melalui pelabelan atau persepsi yang tidak membantu,” tegasnya.








