Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Kelantan perkasa agroteknologi, MARDI lonjak keupayaan petani dan usahawan

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 6 April – Kerajaan Negeri Kelantan terus mempergiat transformasi sektor pertanian berasaskan teknologi dengan sokongan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam memperkasa kemahiran serta keupayaan petani dan usahawan tempatan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penggunaan teknologi moden menjadi teras dalam usaha mentransformasikan sektor pertanian ke arah lebih maju, berdaya saing dan berimpak tinggi.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan pertanian tidak lagi dipandang sebagai sektor tradisional semata-mata tetapi sebagai sektor masa depan yang berasaskan teknologi, inovasi dan keusahawanan,” katanya ketika merasmikan Seminar Teknologi Gunaan Awam MARDI Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Kacip Fatimah, RTC Tunjong, hari ini.

Menurutnya, sektor pertanian turut memainkan peranan penting sebagai asas kepada ketahanan sara diri di semua peringkat.

“Pertanian bukan sekadar sumber ekonomi negeri, tetapi juga asas kepada ketahanan sara diri keluarga, masyarakat, negeri dan negara,” ujarnya.

Seminar tersebut menghimpunkan kira-kira 55 peserta terdiri daripada petani dan usahawan MARDI negeri Kelantan yang komited meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang agroteknologi.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025), seramai 207 usahawan telah dilatih oleh MARDI dengan menerima pelbagai bentuk sokongan termasuk khidmat nasihat, geran, peralatan dan bahan tanaman.

“Saya amat berbesar hati melihat penglibatan aktif MARDI membimbing para Usahawan Bimbingan, Agropreneur Muda, peserta Rezeki Tani serta para perintis yang sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran masing-masing,” katanya.

Tambahnya, penyaluran bantuan yang bersasar turut memberi impak ketara terhadap peningkatan pendapatan peserta.

“Penyerahan geran peralatan kepada usahawan e-kasih telah berjaya meningkatkan pendapatan sehingga peserta-peserta ini yang telah pun keluar daripada senarai e-kasih. Ini merupakan pencapaian yang besar kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Dalam masa sama, usaha mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar terus diperkasakan melalui pelaksanaan projek tanaman menggunakan varieti keluaran MARDI.

“Saya difahamkan lebih 40 hektar tanah telah bertanam dengan pelbagai tanaman varieti MARDI seperti Kelapa Marleca dan MyLag, Durian MDUR88, Nanas MS16, Kopi MKL 7, 8 dan 9 serta Keledek Vitato dan Lembayung,” jelasnya.

Menurutnya, kolaborasi strategik antara kerajaan negeri dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan termasuk MARDI akan terus diperkukuh bagi membina ekosistem pertanian yang mampan dan berdaya tahan.

Beliau turut berkongsi pengalaman melawat Test Bed MARDI Pasir Puteh yang mempamerkan teknologi pemprosesan makanan serta memberi manfaat kepada peserta kursus.

“Saya yakin usaha ini akan diteruskan bagi memberi lebih manfaat kepada rakyat dan komuniti setempat. Malah menjadikan seminar ini sebagai platform terbaik untuk para peserta menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta membina rangkaian kerjasama yang kukuh,” katanya.

Pautan berjaya disalin!