Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Hasil padi Kelantan masih stabil walau berdepan kemarau – Exco Pertanian

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 6 April – Pengeluaran padi di Kelantan kekal stabil walaupun berdepan keadaan cuaca kering dan fenomena El Nino, hasil daripada persediaan awal serta langkah mitigasi yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, setakat ini pengeluaran padi negeri telah melepasi tahap Sara Diri (SSL), dengan anggaran hasil keseluruhan tidak menunjukkan penurunan ketara.

“Dari segi padi, kita telah melepasi SSL dan hasil tahun ini dijangka tidak berkurang banyak kerana hampir 90 peratus kawasan penanaman di Kelantan telah dituai atau berada di peringkat akhir penuaian sebelum kemarau memuncak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Koperasi Pertanian Al Falah di Baruh Padi Alami, Kampung Lubuk Jambu, semalam.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa kawasan yang terjejas, kesannya tidak terlalu serius kerana langkah persediaan awal telah diambil oleh petani dan agensi berkaitan.

“Ada padi yang berbuah tetapi hasilnya tidak begitu baik, kurang lebat dan buah tidak banyak disebabkan kekeringan, namun secara keseluruhan keadaan masih terkawal,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Induk Pertanian Negeri sedang mengumpulkan maklumat berkaitan kesan cuaca kering, termasuk impak terhadap petani dan pengeluaran hasil.

Tambahnya, kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) diperkukuh bagi memastikan maklumat perubahan cuaca dapat disalurkan kepada petani untuk membantu mereka merancang jadual penanaman dengan lebih berkesan.

“Supaya proses pembenihan dan penanaman tidak berlaku ketika cuaca terlalu kering,” jelasnya.

Dalam masa sama, Dato' Tuan Mohd Saripudin turut memaklumkan bahawa pelbagai langkah intervensi telah dilaksanakan termasuk pengagihan lebih 20 pam bergerak kepada petani melalui Pusat Khidmat DUN (PKD) bagi mengatasi masalah kekurangan air pertanian.

Selain itu, kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) turut membolehkan air dari Sungai Kelantan disedut dan dialihkan ke kawasan sawah bagi menyelamatkan sebahagian besar tanaman padi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kenaikan harga diesel memberi kesan kepada kos operasi pertanian, khususnya kepada pesawah yang bergantung kepada penggunaan jentera, selain peningkatan harga baja dan racun.

“Namun begitu, dengan kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Pertanian yang bertindak di kawasan terjejas, kita masih mampu mengawal keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui inisiatif bantuan Sejahtera Tani terus komited membantu petani yang terjejas akibat faktor cuaca dan peningkatan kos semasa.

Pautan berjaya disalin!