Ketegasan Iran wajar dicontohi, pemimpin Islam perlu berani pertahan kedaulatan – YB Mohd Asri
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 6 April – Keberanian dan ketegasan Iran dalam menghadapi konflik semasa wajar dicontohi pemimpin dunia Islam agar tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, sebaliknya berani mempertahankan prinsip serta kedaulatan negara masing-masing.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pendirian tegas Iran itu memberi mesej jelas kepada musuh dan memperlihatkan kekuatan sebuah negara yang berpegang teguh kepada prinsip.
Menurutnya, ketegasan tersebut terbukti mampu menggerunkan pihak lawan termasuk Amerika Syarikat dan Israel dalam konflik yang sedang berlangsung.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap pidato Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasarabadi sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu, pada 4 April lalu.
“Iran menegaskan sekiranya terdapat negara Arab yang membenarkan serangan ke atasnya melalui pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara mereka, maka lokasi tersebut juga akan menjadi sasaran tindakan balas,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Tambahnya, Iran turut menunjukkan komitmen tinggi dalam mempertahankan rakyatnya yang menjadi korban akibat konflik berpanjangan, di samping menghargai solidariti umat Islam dari pelbagai negara yang menjadi sumber kekuatan moral.
Dalam masa sama, beliau berkata kekuatan spiritual menjadi tunjang utama perjuangan Iran, dengan keyakinan bahawa pertolongan Allah SWT akan hadir selagi mereka berada di landasan yang benar serta bertawakal kepada-Nya.
Menurut YB Mohd Asri lagi, mesej yang disampaikan oleh wakil Iran itu kekal konsisten dan tidak berubah walaupun diungkapkan di mana-mana pentas, termasuk di Washington atau Tel Aviv.










