Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato' Rohani Ibrahim


Darul Niswah Kemuning digalak kekal momentum, perluas impak ekonomi wanita – Dato' Rohani

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco

MACHANG, 6 April – Darul Niswah (dulunya Pusat Pembangunan Wanita Kelantan atau PPWK) DUN Kemuning digesa mengekalkan prestasi semasa serta terus memperkukuh pelaksanaan program bagi memperluaskan manfaat kepada lebih ramai wanita, khususnya dalam aspek penjanaan pendapatan.

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan inisiatif pemberdayaan wanita di peringkat komuniti terus relevan dan berimpak tinggi.

Menurutnya, kejayaan Darul Niswah Kemuning yang kini beroperasi di bangunan sendiri merupakan satu pencapaian signifikan hasil komitmen tinggi serta sokongan padu kepimpinan di peringkat Dewan Negeri (DUN).

“Alhamdulillah, saya secara peribadi sangat bersyukur dan berbangga dengan semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh DUN Kemuning dalam memastikan projek Darul Niswah ini terus bergerak dan memberi manfaat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Darul Niswah Kemuning, semalam.

Tambahnya, perkembangan tersebut mencerminkan kesungguhan semua pihak dalam memperkasa agenda pembangunan wanita secara tersusun di peringkat akar umbi.

“Saya harap, Darul Niswah Kemuning akan teruskan prestasi yang ada, sentiasa tambah baik, dan berjaya membantu seramai mungkin wanita di Kemuning khususnya dalam menjana pendapatan melalui program-program yang disediakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dato' Rohani turut membuka ruang penyertaan kepada golongan lelaki, khususnya pelajar, untuk memanfaatkan program kemahiran yang ditawarkan di Darul Niswah sebagai nilai tambah dalam menjana sumber pendapatan.

“Jika ada pelajar lelaki yang berminat, mereka juga dialu-alukan untuk bersama-sama menjana pendapatan melalui program yang tersedia di Darul Niswah ini,” ujarnya.

Terdahulu, beliau menzahirkan penghargaan terhadap perkembangan memberangsangkan Darul Niswah kawasan Machang yang terus unggul sebagai platform pembangunan wanita komuniti.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor.

Pautan berjaya disalin!