Accessibility Tools

Skip to main content

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud


Perpecahan lemahkan umat, pemimpin-rakyat perlu sedar demi penyatuan – MB Kelantan

Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media UPDI

KUALA NERUS, 6 April – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa sejarah telah membuktikan perpecahan mampu berlaku walaupun dalam kalangan saudara sendiri, sekali gus menuntut kesedaran pemimpin-rakyat untuk memperkukuh perpaduan ummah.

Beliau berkata, peristiwa perbalahan antara kaum Aus dan Khazraj yang berlarutan selama 120 tahun sebelum disatukan oleh Nabi Muhammad SAW menjadi pengajaran besar kepada umat Islam masa kini.

“Islam menyatukan, tetapi kita hari ini berpecah walaupun sesama sendiri. Rakyat perlu sedar dan pemimpin perlu lebih sedar untuk memastikan perpaduan dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, perpaduan ummah merupakan tuntutan yang diwajibkan oleh Allah SWT, dengan perintah jelas supaya umat Islam bersatu serta menjauhi perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan.

Katanya, walaupun umat Islam dianggarkan berjumlah kira-kira dua bilion atau 25 peratus daripada populasi dunia, kelemahan tetap berlaku akibat ketiadaan kesatuan yang kukuh.

Beliau menjelaskan bahawa asas kepada penyatuan ialah ketaatan kepada Allah dan Rasul, di samping menjauhi pertelingkahan serta perpecahan yang boleh menghakis kekuatan umat.

Tambahnya, keadaan umat Islam hari ini juga telah digambarkan dalam hadis Rasulullah SAW sebagai umat yang dikerumuni musuh seperti orang lapar mengerumuni makanan, meskipun jumlahnya ramai namun tidak mempunyai kekuatan, seumpama buih di lautan.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa peranan pemimpin amat penting dalam menjayakan agenda perpaduan, selain menyeru rakyat agar bijak dalam menentukan kepimpinan.

Tegasnya, perpaduan hanya dapat dicapai melalui sikap tolak ansur, dengan bekerjasama dalam perkara yang dipersetujui serta berlapang dada dalam perkara yang tidak dipersetujui.

 

Pautan berjaya disalin!