KBC bentang pelan strategik, pacu daya saing sektor pertanian Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco
KOTA BHARU, 6 April – Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBC) membentangkan perancangan strategik komprehensif yang diyakini mampu melonjakkan keupayaan sektor pertanian Kelantan ke tahap lebih berdaya saing, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri dalam rantaian nilai agromakanan.
Pembentangan tersebut diterima Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dalam satu sesi khas yang berlangsung di pejabat beliau di Mabna, semalam.
Menurutnya, sesi berkenaan membuka ruang perbincangan menyeluruh terhadap hala tuju pembangunan bioteknologi yang dilihat sebagai pemangkin penting dalam mentransformasikan sektor pertanian negeri.
“Kerajaan Negeri komited untuk memperkasakan pembangunan bioteknologi sebagai antara pemangkin utama transformasi sektor agromakanan. Usaha ini penting bagi memastikan rantaian nilai pertanian dapat dipertingkatkan secara mampan,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan bersepadu yang menggabungkan inovasi teknologi dan pengurusan moden akan terus diberi penekanan bagi memastikan sektor pertanian bukan sahaja berkembang dari segi kuantiti, malah turut diperkaya dengan nilai tambah yang lebih tinggi.
“Perancangan strategik yang dibentangkan ini diharap dapat memberi impak besar kepada golongan petani dan usahawan agromakanan, khususnya dalam meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan terus menyokong segala inisiatif yang mampu memperkukuh ekosistem bioteknologi selaras dengan keperluan semasa serta cabaran masa hadapan.
“Semoga segala perancangan ini dipermudahkan pelaksanaannya dan seterusnya memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat negeri Kelantan,” katanya.








