Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah


Rakyat prihatin lapor kebakaran, selamatkan nyawa dan alam sekitar

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 6 April – Sikap prihatin rakyat dalam melaporkan kejadian kebakaran serta mengelakkan pembakaran terbuka mampu menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar, khususnya ketika negeri berdepan cuaca panas dan kemarau ketika ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, peningkatan suhu dan keadaan kering ketika ini mempertingkatkan risiko kebakaran hutan, semak serta kawasan terbuka, sekali gus menuntut kepekaan masyarakat untuk bertindak segera.

Menurutnya, kebakaran dalam cuaca kering boleh merebak dengan pantas dan berpotensi mengancam keselamatan pengguna jalan raya, penduduk setempat serta memusnahkan ekosistem semula jadi.

“Orang ramai perlu segera menghubungi Balai Bomba terdekat atau talian kecemasan 999 sekiranya ternampak kebakaran.

Maklumat lokasi yang tepat amat penting bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil,” katanya di media sosial, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak berada terlalu lama berhampiran kawasan kebakaran kerana asap tebal boleh menjejaskan kesihatan.

Selain itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil gambar dari jarak dekat sehingga mengganggu laluan atau operasi pasukan penyelamat.

“Jangan cuba memadam kebakaran tanpa peralatan yang sesuai. Keselamatan diri dan keluarga perlu diutamakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan beberapa langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kebakaran sepanjang musim kemarau, termasuk tidak melakukan pembakaran terbuka seperti membakar sampah atau semak.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak membuang puntung rokok merata-rata serta memastikan kawasan rumah dan kebun sentiasa bersih daripada bahan mudah terbakar.

Selain itu, masyarakat digalakkan menjimatkan penggunaan air memandangkan musim kemarau boleh menjejaskan bekalan, di samping sentiasa peka terhadap arahan pihak berkuasa dan amaran cuaca panas.

Beliau menegaskan bahawa kepekaan dan tindakan awal masyarakat merupakan benteng utama dalam mencegah kebakaran daripada menjadi lebih serius.

“Cegah sebelum parah, lapor sebelum merebak,” katanya.

Pautan berjaya disalin!