Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Koperasi pertanian platform perkasa industri agro, atasi kos meningkat - Exco Pertanian

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 5 April – Penubuhan dan pemerkasaan koperasi pertanian dilihat sebagai antara pendekatan strategik bagi memperkukuh industri agro tempatan dalam berdepan peningkatan kos input serta cabaran semasa sektor pertanian.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, penganjuran Bengkel Koperasi Pertanian Al-Falah merupakan kesinambungan kepada Seminar Keusahawanan dan Koperasi yang telah diadakan sebelum ini di Jeram Mengaji Agro Resort, yang membincangkan aspek koperasi secara menyeluruh.

“Program hari ini memberi fokus khusus kepada koperasi pertanian, selari dengan resolusi seminar yang menekankan pembangunan sektor agropertanian dan agromakanan,” katanya ketika merasmikan bengkel tersebut di Baruh Padi Alami, Kampung Lubuk Jambu, di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir serta menyifatkan penglibatan aktif mereka sebagai petanda kesungguhan untuk memajukan sektor pertanian melalui platform koperasi.

Menurutnya, Pusat Khidmat DUN (PKD) boleh memainkan peranan bersama kerajaan negeri dalam memperkasakan industri pertanian, memandangkan terdapat pelbagai peruntukan daripada agensi negeri dan Persekutuan yang boleh dimanfaatkan dalam skop berkenaan.

“Projek-projek yang dibangunkan perlu bersifat bersasar, bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, tetapi juga mampu membantu koperasi menjana pendapatan secara mampan,” jelasnya.

Tambahnya, fokus kepada koperasi pertanian termasuk subsektor penternakan dan industri hiliran membuka ruang luas kepada pembangunan projek baharu, lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang menyediakan pelbagai kemudahan serta bantuan.

Dalam masa sama, Dato' Tuan Saripudin mengakui sektor pertanian kini berdepan peningkatan kos input, tenaga kerja dan pengangkutan yang memberi kesan kepada industri, termasuk sektor padi yang menjadi perhatian di seluruh negara.

“Cabaran ini menuntut kita untuk bersatu melalui koperasi, menghimpunkan tenaga dan memperkukuh modal bagi memastikan kelangsungan projek pertanian,” ujarnya.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kekurangan ilmu pengurusan koperasi boleh menjadi punca kegagalan sesuatu inisiatif, justeru peserta digalakkan untuk terus menimba pengetahuan, menghadiri kursus serta mematuhi prosedur dan sistem perniagaan yang betul.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama dengan agensi kerajaan negeri seperti Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan dalam membantu aspek pemasaran, selain kolaborasi bersama agensi pertanian lain termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Semua pihak ini boleh digembleng secara bersama bagi membangunkan projek pertanian masing-masing secara lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Exco Pertanian turut menyempurnakan gimik perasmian Tradisi Menuai Baruh Padi Alami Musim Ke-6 Warisan Desa Gemalai sebagai simbolik kepada usaha memartabatkan warisan serta memperkasa sektor pertanian berasaskan komuniti.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Saizol Ismail, ADN Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman serta ADN Tawang YB Harun Ismail.

Pautan berjaya disalin!