Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan–AirAsia agresif teroka pasaran Jakarta

Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media Exco

KOTA DARULNAIM, 5 April – Kerajaan Negeri Kelantan mempergiat langkah strategik secara agresif bersama AirAsia bagi menembusi pasaran pelancongan Jakarta dalam usaha memperluas capaian antarabangsa serta memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pilihan serantau.

Usaha tersebut digerakkan menerusi mesyuarat strategik bersama pasukan AirAsia yang dipengerusikan Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor di pejabatnya di Kota Darul Naim, Khamis lalu.

Menurut Datuk Kamarudin, mesyuarat berkenaan memberi fokus kepada penyusunan semula strategi promosi yang lebih tersasar dan berimpak tinggi, selain memperkasa kerjasama pintar bagi menarik kemasukan pelancong antarabangsa khususnya dari Indonesia.

"Kerjasama dengan AirAsia dilihat sebagai langkah proaktif yang mampu memanfaatkan kekuatan rangkaian penerbangan serta keupayaan pemasaran syarikat itu di peringkat serantau.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan pilihan dengan menampilkan keunikan budaya, warisan dan produk pelancongan tempatan yang autentik,” katanya menerusi media sosial,  pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kolaboratif strategik dengan pemain industri penerbangan membuka ruang lebih luas dalam mempertingkat capaian pasaran, sekali gus meningkatkan jumlah kemasukan pelancong asing ke negeri ini.

“Pendekatan ini berpotensi menambah laluan penerbangan dan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan yang lebih dinamik dan berdaya saing,” ujarnya.

Tambahnya, pasaran Jakarta dikenal pasti sebagai antara sasaran utama berikutan persamaan budaya serta hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia yang memudahkan pelaksanaan promosi secara lebih efektif dan berfokus.

Pautan berjaya disalin!