Ijtimak Perpaduan Ummah satukan fikrah, arah perjuangan diselaras - MB Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KUALA NERUS, 5 April – Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 menjadi medan penyatuan fikrah, penyelarasan hala tuju serta pengukuhan tekad perjuangan umat Islam dalam satu saf yang utuh.
Demikian kenyataan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud yang hadir bersama barisan kepimpinan Menteri Besar SG4 bagi memeriahkan program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu.
Program berskala global itu berlangsung selama tiga hari penuh bermula pukul 9. 00 pagi Khamis dan berakhir pukul 11.30 malam pada Sabtu di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.
Sehubungan itu, Dato' Mohd Nassuruddin menyifatkan program yang mendukung intelektual, memartabatkan budaya dan memelihara warisan itu sebagai titik penting dalam memperkukuh kesatuan ummah.
Beliau menegaskan, himpunan berkenaan melangkaui konsep pertemuan biasa, sebaliknya berperanan sebagai wahana strategik dalam membina kesedaran kolektif umat Islam.
“Ini adalah titik temu antara pemimpin dan umat, tempat di mana suara disatukan, arah diperkemaskan, dan masa depan digerakkan dengan satu jiwa.
“Apabila ummah sudah bersatu dengan kesedaran, musuh tidak lagi berdepan individu tetapi satu kekuatan yang tidak boleh dipecahkan,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Marang, YB Tan Sri Dato’ Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Majlis tersebut disempurnakan oleh tokoh ulama dunia yang juga Ahli Parlimen Marang YB Tan Sri Dato’ Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau juga menyampaikan syarahan bersama tokoh antarabangsa iaitu Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia Vaiollah Mohammadi Nasarabad dan da'ie ummah sejagat Dr Zakir Abdul Karim Naik.
Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia, Vaiollah Mohammadi Nasarabad
Da'ie ummah sejagat, Dr Zakir Abdul Karim Naik
Menurut Dato' Mohd Nassuruddin, pengisian syarahan yang disampaikan tiga ikon dunia itu berperanan sebagai panduan dalam menggerakkan arus kebangkitan ummah secara lebih tersusun dan berstrategi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kematangan siasah yang diperlukan umat Islam hari ini yang menuntut kebijaksanaan dalam menyatukan perbezaan sebagai kekuatan bersama.
“Di sinilah terzahir wajah sebenar kematangan politik, bukan retorik kosong tetapi seni menyatukan perbezaan menjadi kekuatan. Alam Melayu tidak dibina atas emosi, tetapi atas kesedaran bahawa perpaduan adalah strategi, dan kesatuan adalah kuasa,” tegasnya.
Turut hadir, Pengarah Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.















